suria

DragonAir Unjur 70% Faktor Muatan Laluan Hong Kong-Pulau Pinang

Patrick Yeung. Foto ZAINUDIN AHAD

GEORGE TOWN: Syarikat perkhidmatan penerbangan berpangkalan sepenuhnya di Hong Kong, Dragonair, yang memulakan perkhidmatannya semalam, mengunjurkan faktor muatan setinggi 70 peratus untuk laluan Pulau Pinang-Hong Kong dan sebaliknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Patrick Yeung berkata, sasaran itu boleh dicapai kerana Pulau Pinang terkenal di Hong Kong berikutan siri drama popular yang banyak memaparkan jejak warisan di George Town.

"Dragonair memulakan perkhidmatan penerbangan 10 kali seminggu antara Hong Kong dengan Pulau Pinang dan berharap membawa pelancong ke pulau ini untuk perniagaan dan melancong, bukan saja dari Hong Kong malah dari tanah besar China," katanya.

Yeung bercakap kepada pemberita selepas meraikan penerbangan sulung dari Pulau Pinang ke Hong Kong, dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di sini pada Isnin.

Beliau berkata, Dragonair mempunyai kekuatan untuk mempromosi Pulau Pinang di China dalam jangka panjang memandangkan ia terbang ke 22 bandar raya di tanah besar itu.

"Potensi itu tetap wujud terutama berikutan bertambahnya golongan kelas pertengahan, jaringan dan destinasi yang baik dan perkongsian," katanya.

Dragonair, anak syarikat milik Cathay Pacific Airways, terbang dari Hong Kong ke Pulau Pinang malam Ahad dengan muatan 100 peratus.

Sementara itu, Lim berkata Pulau Pinang dan Hong Kong mempunyai persamaan, terutama warisan penjajahan British dan makanan jalanan yang enak.

Ditanya sama ada peristiwa MH370 memberi kesan terhadap kedatangan pelancong China, Lim berkata Pulau Pinang tidak mungkin terjejas kerana pasaran China di negeri kecil.

Dragonair, Patrick Yeung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain