suria

Untung Sebelum Cukai, Zakat KFH M'sia Meningkat 64.4% Kepada RM148.6 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai dan zakat Kuwait Finance House (KFH) Malaysia Bhd bagi tahun kewangan 2013 meningkat 64.4 peratus kepada RM148.60 juta.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, ia berkata, lembaran imbangannya tetap kukuh dengan aset berjumlah RM9.5 bilion, dan ini adalah 7.1 peratus atau RM600 juta lebih tinggi berbanding tempoh yang sama sebelumnya. 

"Pertambahan aset itu terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan pembiayaan kasar, yang meningkat 9.1 peratus kepada RM6.5 bilion daripada RM6.0 bilion TK2012, yang pada asasnya didorong oleh pembiayaan korporat," kata KFH Malaysia.

Bank itu juga mempunyai asas modal yang kukuh dengan modal Tahap 1 kumpulan itu berjumlah RM1.3 bilion dan nisbah kecukupan modal sebanyak 21.8 peratus setakat 31 Disember, 2013. Ini adalah yang tertinggi dalam industri perbankan Islam. 

KFH Malaysia berkata, bagi 2014 ia akan memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu pertumbuhan aset berkualiti dan mampan, usaha mengoptimumkan kos dan kapasiti serta bina upaya yang merangkumi pemerkasaan teknologi maklumat (IT) dan pembangunan modal insan. 

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Abdul Hamidy Hafiz, berkata bank itu juga akan mempertimbangkan untuk meningkatkan dan memperluas tawaran produknya dan membuka cawangan-cawangan baharu tahun ini. 

"Objektif kami ialah memperluas perkhidmatan ke pasaran dan segmen yang kurang dan belum menerima perkhidmatan. Kami juga akan memberi penekanan kepada tadbir urus korporat yang ketat, pemberian pinjaman berhemah dan kecekapan," tegas Hamidy. 

Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd ialah bank Islam asing pertama di Malaysia. Ia adalah anak syarikat milik penuh Kuwait Finance House yang ditubuhkan di Kuwait pada 1977 sebagai bank pertama yang beroperasi mengikut syariah Islam.

Artikel Berikut

Artikel Lain