suria

Skim Rumah Mampu Milik Swasta Bermula 1 Apr

Datuk Rahman Dahlan

PUTRAJAYA: Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) yang menawarkan insentif sehingga RM30,000 kepada pembeli rumah dan pemaju swasta akan mula dilaksanakan pada 1 April, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata skim itu melibatkan peruntukan RM300 juta bagi membina 10,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

"Bagi memastikan skim itu dilaksanakan dengan jayanya, kementerian akan melaksanakan penilaian ke atas pemaju perumahan yang akan menyertai skim berkenaan. Kita mahu pastikan hanya pemaju layak dan mempunyai rekod baik sahaja dipilih," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran skim itu di sini hari ini.

Beliau berkata pemilihan pemaju akan dilaksanakan melalui jawatankuasa Pemilihan Projek Myhome KPKT.

Sementara itu, pembeli pula katanya, mestilah warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas; pembelian adalah untuk rumah pertama dan dihadkan satu unit rumah kepada setiap isi rumah; dan pendapatan isi rumah antara RM3,000 hingga RM4,000 bagi MyHome 1 dan RM4,001 hingga RM6,000 bagi MyHome 2.

Abdul Rahman berkata MyHome 1 menawarkan harga jualan rumah antara RM80,000 hingga RM120,000 manakala di Sabah dan Sarawak menawarkan harga antara RM90,000 hingga RM120,000.

"MyHome 2 pula menawarkan harga jualan antara RM120,001 hingga RM200,000, di Sabah dan Sarawak menawarkan harga RM120,001 hingga RM200,000," katanya.

Pemaju dan pembeli yang berminat serta memenuhi syarat kelayakan boleh memohon dengan memuat turun borang permohonan menerusi laman web Jabatan Perumahan Negara di http://ehome.kpkt.gov.my atau di pejabat Setiausaha Negeri di seluruh negara mulai tarikh sama.

Skim MyHome diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat pada 25 Okt tahun lepas.

Artikel Lain