suria

Symphony House-Ranhill Energy Tandatangani Perjanjian Pengambialihan Berbalik

KUALA LUMPUR: Symphony House Bhd pada Rabu menandatangani Perjanjian Dasar Induk bagi cadangan pengambilalihan berbalik syarikat itu oleh Ranhill Energy And Resources Bhd. 

Ranhill Energy ialah syarikat pegangan mutakhir Ranhill Group Sdn Bhd, yang dahulunya dikenali sebagai Ranhill Power Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Symphony berkata, cadangan pengambilalihan itu bertujuan memberikan peluang kepada pemegang sahamnya untuk meraih manfaat daripada potensi pertumbuhan Ranhill Group of Companies dalam perniagaan air, kuasa serta minyak dan gas. 

Di bawah perjanjian itu, Symphony akan mengambil alih Ranhill Group of Companies dengan harga yang akan ditentukan dan dilunaskan melalui terbitan saham-saham baharu bernilai RM1 setiap satu dalam Symphony selepas cadangan penggabungan saham pada harga terbitan RM1.50 bagi setiap saham Symphony.

Symphony akan juga menggabungkan 10 saham bernilai 10 sen sedia ada menjadi satu saham bernilai RM1. 

Sementara itu, syarikat itu juga bercadang untuk melaksanakan tawaran awam saham-saham baharu Symphony dan terbitan hak boleh tolak berdasarkan satu saham baharu Symphony bagi setiap saham Symphony sedia ada yang dipegang. 

"Dana yang dikumpul daripada cadangan tawaran ini akan digunakan bagi, antara lain, pengurangan jumlah hutang, peluasan perniagaan, modal kerja serta perbelanjaan berkaitan dengan cadangan ini," katanya. 

Serentak dengan cadangan tawaran itu, kata Symphony, tawaran untuk jualan saham-saham Symphony oleh beberapa pemegang saham tertentu Ranhill Energy juga dibuat. 

"Juga ada cadangan pembelian kesemua kepentingan ekuiti dalam kumpulan syarikat Symphony sedia ada oleh pasukan pengurusan syarikat sekarang yang diketuai oleh Tan Sri Mohamed Azman Yahya dan Abdul Hamid Sheikh Mohamed dengan harga RM60 juta tunai.

"Apabila selesai cadangan ini, Symphony akan terus disenaraikan dalam Pasaran Utama Bursa Securities," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain