suria

Kerajaan Kaji Semula Kriteria Program Kepulangan Pakar

Abdul Wahid Omar.

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menyemak semula kriteria Program Kepulangan Pakar (REP), program yang memudahkan kepulangan profesional berbakat negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata dua semakan dibuat ke atas REP yang diselia Talent Corp Malaysia Bhd.

"Semakan itu melibatkan semua permohonan yang diterima selepas 15 April ini. 

"Kerajaan memutuskan untuk menghalusi kriteria kelayakan REP supaya lebih menyeluruh dan mengambil kira bukan hanya kelayakan dan pengalaman kerja di luar negara.

"Ia kini turut menimbang pengalaman kerja di Malaysia (sebelum bekerja  di luar negara), gaji semasa di luar negara dan pengalaman serta kepakaran yang berkaitan sektor ekonomi utama atau bidang yang wujud jurang kritikal dari segi kemahiran," katanya pada taklimat media di sini, Rabu.

Mengikut kriteria kelayakan baharu REP, pengalaman kerja di luar negara bagi mereka yang mempunyai ijazah doktor falsafah, sarjana dan ijazah sarjana muda dan pemegang diploma, adalah antara empat dan 12 tahun, dengan pendapatan minimum bersamaan RM20,000 sebulan.

Kerajaan juga menyemak pengecualian cukai kereta unit pemasangan terurai (CKD) di bawah insentif kereta dalam REP.

Berdasarkan semakan ini, pemohon REP yang berjaya hanya boleh memohon untuk pengecualian cukai ke atas salah satu CKD yang dikeluarkan dalam negara atau sebuah kereta pasang siap (CBU) yang diimport sepenuhnya, tertakluk kepada pengecualian cukai maksimum RM150,000.

Abdul Wahid berkata, peruntukan untuk membeli sebuah kereta tanpa cukai bertujuan memudahkan peralihan kepulangan rakyat Malaysia dari luar negara, dengan mengambil kira mereka lazimnya membayar cukai yang rendah untuk kenderaan masing-masing.

"Apa yang kerajaan dan TalentCorp lakukan hanya menjadikannya lebih kondusif untuk mereka kembali," katanya.

REP pada asalnya diperkenalkan pada 2001 bagi menangani keperluan bakat Malaysia dengan memudahkan kepulangan profesional berpengalaman dari luar negara.

Pengurusan program itu berpindah kepada TalentCorp pada Januari 2011. 

Sejak 2011, lebih 2,500 permohonan REP diluluskan.

Artikel Lain