suria

Top Glove Labur RM80 Juta Bina & Naik Taraf Kilang

KUALA LUMPUR: Pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd, melabur sebanyak RM80 juta sebagai sebahagian daripada pelan pengembangannya untuk membina kilang baharu dan menaik taraf sebuah lagi kilang pada tahun ini. 

Pengarah Eksekutifnya Lim Chong Guan berkata kerja-kerja menaik taraf Factory 27 di Lukut, Negeri Sembilan, dijadualkan siap pada Mei ini manakala pembinaan kilang baharu dijangka siap pada Disember.

"Pelan pengembangan ini akan meningkatkan bilangan barisan pengeluaran daripada 464 kepada 484 dan meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada 41.3 bilion kepada 43.5 bilion helai sarung tangan setiap tahun," katanya pada taklimat mengenai keputusan suku kedua kumpulan itu.

Bagi tempoh suku kedua, keuntungan sebelum cukai Top Glove merosot kepada RM50.109 juta berbanding RM61.389 juta sebelum ini, manakala pendapatan turun kepada RM548.271 juta daripada RM576.418, sebahagian besarnya disebabkan tekanan margin daripada persaingan sengit dan kerugian daripada operasi di China berjumlah RM5 juta.

"Turut menyumbang kepada penurunan itu ialah kerugian tukaran asing, akibat daripada kadar kontrak hadapan yang lebih rendah daripada kadar tukaran asing pasaran pada masa ini," kata Lim.

Pada 28 Feb 2014, kumpulan itu mengekalkan paras tunai bersih sebanyak RM89.2 juta dan lembaran imbangan yang kukuh.

Ditanya sama ada penurunan pendapatan itu akan memberi kesan terus kepada pelan pengembangan kumpulan, Lim berkata ia tidak akan memberi kesan kerana mereka masih mempunyai simpanan tanah yang besar seluas 40 hektar di Meru.

Mengenai perkembangan lain, kumpulan itu juga akan menyediakan peruntukan baharu sebanyak RM60 juta sebagai perbelanjaan modal pada tahun ini untuk membina Menara Top Glove setinggi 23 tingkat di Setia Alam, Shah Alam, yang dijadualkan siap pada 2015.

Menara itu terdiri daripada pejabat setinggi 14 tingkat, dua tingkat ruang niaga dan tujuh tingkat ruang parkir.

Lim berkata kumpulan itu menjangkakan perniagaan sarung tangan terus kekal kompetitif dan mencabar.

Bagaimanapun, beliau yakin dapat melalui era yang mencabar ini untuk mencatatkan prestasi lebih baik pada suku akan datang.

Artikel Lain