suria

Kumpulan AmBank Umum Kejayaan Sistem Perbankan Barunya

Ashok Ramamurthy

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (Ambank Group) telah mengumumkan kejayaan pelaksanaan sistem perbankan teras baharunya, AmBanCS.

Pengujian sistem baharu itu bermula pada 18 November tahun lepas.

Pengarah Urusannya Ashok Ramamurthy berkata kumpulan itu memulakan tiga pelaksanaan utama, yang selain daripada sistem perbankan teras baharu, iaitu terdiri daripada pelaksanaan saluran mesin juruwang generasi akan datang serta gudang data enterpris baharu.

"Pelaksanaan itu menelan kos hampir RM300 juta dan kumpulan juga melabur untuk menaik taraf prasarana rangkaiannya bagi menambah baik jalur lebar dan sambungan Internet, terutamanya dalam seluruh cawangan.

"Peralihan kepada AmBanCS itu adalah tepat pada masa kerana pertumbuhan kami menjadikan mustahak bagi kami untuk mempunyai sistem berskala, memudahkan masa yang pantas untuk memasarkan produk dan perkhidmatan baharu dan menyediakan pandangan pelanggan bersepadu," katanya.

Bercakap kepada pemberita pada taklimat media di sini hari ini mengenai AmBanCS, beliau berkata usaha transformasi yang diikhtiarkan untuk memacu sambungan dalam pelbagai bahagian, telah mewujudkan pengupaya perniagaan bagi Kumpulan untuk terus kekal relevan kepada pelanggan sedia ada, di samping menarik segmen baharu.

"Fungsi-fungsi mantap sistem baharu itu akan menyediakan asas kukuh bagi Kumpulan untuk terus berkembang, termasuk meningkatkan tumpuan kepada pelanggan dan mengembangkan usaha pendigitalan bagi memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin meningkat," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai arahan Bank Negara Malaysia kepada bank-bank untuk menggunakan Kadar Asas baharu bagi menggantikan Kadar Berian Pinjaman Asas (BLR), Ashok berkata Kumpulan itu menyambut baik langkah tersebut.

"Ia merupakan hala tuju yang betul bagi industri. Tetapi, kita perlu memahami pelbagai komponen penetapan harga pinjaman sebelum merangka spread bagi Kadar Asas baharu itu," katanya.

Bank Negara dalam Laporan Tahunan 2013 yang dikeluarkan semalam berkata kadar rujukan baharu itu bagi penetapan harga pinjaman bank kadar apungan akan diperkenalkan tahun depan untuk menggantikan rangka kerja BLR semasa yang telah diguna pakai lebih 30 tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain