suria

Bank Negara Sasar Terbit Kertas Konsep Baharu Piawaian Mudah Tunai Pertengahan 2014

Bank Negara.

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan mengeluarkan kertas konsep piawaian mudah tunai baharu menjelang pertengahan 2014.

Cadangan piawaian mudah tunai baharu ini akan mengambil kira skop aset peringkat dua yang boleh diiktiraf sebagai aset mudah tunai berkualiti tinggi (HQLA), termasuk sekuriti hutang korporat dengan penarafan yang tinggi.

Dalam tempoh terdekat juga, BNM merancang mengeluarkan piawaian pengurusan risiko mudah tunai yang bertujuan meningkatkan amalan industri dalam bidang seperti ujian tekanan dan perancangan luar jangka.

BNM berkata, satu pertimbangan yang penting bagi rangka kerja mudah tunai di Malaysia ialah jumlah ketara dan sifat unik dana borong yang menyumbang lebih daripada 60 peratus jumlah deposit yang diterima. 

"Sebahagian daripada dana borong dalam sistem perbankan merupakan deposit yang disimpan oleh skim simpanan persaraan wajib seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan skim persaraan lain," kata bank pusat itu dalam laporan Kewangan dan Sistem Pembayaran, pada Rabu.

Memandangkan peranan simpanan persaraan yang ketara dalam menyalurkan sebahagian besar dana daripada isi rumah kepada sektor perbankan, peraturan mudah tunai yang dicadangkan untuk diterima pakai di Malaysia akan mempertimbangkan pilihan untuk olahan ke atas skim-skim tersebut.

Pasaran bon dan sukuk domestik, yang merupakan salah satu pasaran yang terbesar di rantau ini, dijangka terus menyediakan bekalan HQLA yang mencukupi untuk memenuhi keperluan agregat penampan mudah tunai sistem perbankan.

Pada akhir 2013, sekuriti boleh niaga dalam denominasi ringgit yang layak dikira sebagai HQLA peringkat satu bernilai RM636.6 bilion.

Artikel Lain