suria

Bursa KL Ditutup Tinggi Pada Selasa

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini disokong oleh belian dalam kaunter kewangan, kata para peniaga.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.54 mata untuk ditutup kepada 1,820.7, selepas berlegar antara 1,820.7 dan 1,813.54. Ia dibuka pada 1,813.54.

Dalam kalangan kaunter kewangan, Syarikat Takaful Malaysia naik 32 sen kepada RM10.82, Hong Leong Financial meningkat 26 sen kepada RM15.48 dan RHB Capital menambah dua sen kepada RM8.02.

Seorang peniaga berkata, FBM KLCI ditutup sederhana tinggi hari ini susulan peningkatan sedikit daripada saham kewangan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) bermula Selasa.

Beliau berkata, para pelabur menjangkakan penurunan US$10 bilion lagi kepada program pembelian aset bulanan Rizab Persekutuan, mengurangkan belian bon bulanannya kepada US$55 bilion, selepas beberapa siri data positif menunjukkan bahawa ekonomi terbesar dunia itu semakin pulih.

Di papan skor, Indeks Kewangan naik 77.02 mata kepada 16,436.27, Indeks Perindustrian meningkat 9.47 mata kepada 3,173.99 tetapi Indeks Perladangan susut 16.38 mata kepada 8,884.3.

Indeks FBM Emas naik 35.48 mata kepada 12,605.99, Indeks FBMT100 meningkat 33.55 mata kepada 12,275.88, FBM Ace mengukuh 7.57 mata kepada 6,620.42 dan FBM 70 menambah 22.94 mata kepada 13,820.24.

Suasana pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 397 berbanding 346, manakala 322 kaunter tidak berubah, 566 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.21 bilion saham bernilai RM1.82 bilion daripada 1.27 bilion saham bernilai RM1.52 bilion semalam.

Dalam kalangan kaunter cergas, Asia Bioenergy, MAS dan Tiger Synergy menambah setengah sen setiap satu masing-masing kepada 9.5 sen, 23.5 sen dan 15 sen, Iris turun dua sen kepada 56 sen dan PDZ Holdings berkurangan setengah sen kepada 11 sen.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM9.59, CIMB meningkat lima sen kepada RM7.05 dan Sime Darby menokok satu sen kepada RM9.21.

TNB susut enam sen kepada RM11.94 dan Axiata berkurangan satu sen kepada RM6.49.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 893.17 juta unit bernilai RM1.72 bilion daripada 931.52 juta unit bernilai RM1.42 bilion semalam.Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 294.22 juta unit bernilai kepada RM93.12 juta daripada 312.29 juta unit bernilai RM88.42 juta pada Isnin.

Waran meningkat kepada 21.24 juta unit bernilai RM2.05 juta daripada 20.35 juta unit bernilai RM2.11 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 95.05 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan 153.2 juta, pembinaan 58.22 juta, perdagangan dan perkhidmatan 332.18 juta, teknologi 44.15 juta, prasarana 26.03 juta, SPAC 38.38 juta, kewangan 40.06 juta, hotel 192,100, hartanah 79.07 juta, perladangan 15.50 juta, perlombongan 10,000, REITs 11.07 juta dan dana tertutup 27,700. 

 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain