suria

Beberapa Syarikat Indonesia Dijangka Melabur Di Iskandar M'sia

JAKARTA: Kerancakan pembangunan di Iskandar Malaysia (IM) terus menjadi tumpuan pelabur dari Indonesia, terutama kepada perusahaan bersaiz sederhana, bagi mengembangkan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.

Justeru, empat usahawan pertengahan Indonesia telah menyatakan minat untuk melabur di wilayah berkenaan agar perniagaan mereka dapat menjangkau ke bahagian lain di dunia.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim berkata dengan jumlah penduduknya melebihi 200 juta orang, IM sememangnya memberi fokus kepada syarikat perniagaan dari Indonesia, termasuk bersaiz sederhana, untuk melabur di wilayah tersebut.

"Bagi syarikat perniagaan Indonesia yang besar serta mempunyai pasaran domestik yang kukuh... mungkin tidak memerlukan Malaysia bagi mengembangkan perniagaan mereka.

"Tetapi bagi syarikat yang dianggap 'pertengahan', Iskandar Malaysia boleh menyediakan platform untuk mereka memperluaskan perniagaan," katanya dalam temu bual bersama wartawan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Bagi pelaburan daripada peringkat usahawan pertengahan Indonesia itu, Ismail berkata IRDA menggalakkan pelaburan khusus dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan.

"Kami sudah berjumpa dengan kumpulan sasar yang menunjukkan minat mendalam untuk melabur di Iskandar Malaysia. Beberapa perjanjian dijangka ditandatangani tidak lama lagi," katanya.

Selain Jakarta, beliau berkata IRDA juga mempromosi IM kepada komuniti perniagaan Indonesia di Surabaya serta Semarang dan bercadang ke beberapa wilayah lain tidak lama lagi.

"Kami berharap kunjungan berkala ke wilayah-wilayah ini dapat perhatian daripada usahawan Indonesia yang ingin mengembangkan perniagaan dan seterusnya melabur di Iskandar Malaysia," katanya.

Mengenai pelaburan masa depan, Ismail berkata kerajaan akan berusaha mewujudkan iklim yang sesuai untuk pelaburan serta prasarana yang komprehensif bagi menarik lebih banyak penyertaan daripada sektor swasta.

Beliau berkata setakat ini, jumlah pelaburan di wilayah ekonomi itu adalah RM133.07 bilion dan angka itu adalah jauh daripada volum sasaran sebanyak RM383 bilion menjelang 2025.

Daripada jumlah itu, jumlah pelaburan syarikat Indonesia di Iskandar Malaysia sebanyak RM800 juta.

Pada masa ini, IM adalah antara destinasi pelancongan terkemuka dalam kalangan rakyat Indonesia, khususnya selepas taman tema seperti Legoland Malaysia dan Sanriyo Hello Kitty Town serta pusat membeli-belah Johor Premium Outlets dibuka kepada orang ramai.

Artikel Lain