suria

AirAsia Batal Penerbangan Ke/Dari Pekanbaru Kerana Jarak Penglihatan Terhad Akibat Jerebu

PETALING JAYA: AirAsia mengumumkan penerbangannya ke atau dari Pekanbaru, Indonesia pada Jumaat dan Sabtu dibatalkan berikutan jarak penglihatan yang terhad disebabkan jerebu tebal di kawasan itu.

Syarikat penerbangan tambang rendah dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, keadaan jerebu yang tebal mengehadkan jarak penglihatan juruterbang kepada kurang 1,000 meter, yang merupakan jarak penglihatan minimum penerbangan bagi memastikan operasi yang selamat.

Ia berkata, senarai penerbangan AirAsia dari/ke Pekanbaru yang dibatalkan adalah Kuala Lumpur-Pekanbaru, Pekanbaru-Kuala Lumpur, Pekanbaru-Bandung, Bandung-Pekanbaru, Pekanbaru-Medan dan Medan-Pekanbaru.

“Kesemua penerbangan yang terlibat dijangka meneruskan operasi pada Ahad, 16 Mac 2014, namun bergantung pada tahap peningkatan jarak penglihatan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, AirAsia menawarkan pilihan kesinambungan perkhidmatan kepada tetamu yang terjejas akibat pembatalan penerbangan.

Ia berkata, tetamu yang terlibat boleh memilih satu daripada opsyen sama ada mengubah tarikh penerbangan dalam lingkungan tujuh hari dari jadual asal tanpa caj tambahan atau deposit dalam bentuk ‘credit shell’ bersamaan dengan nilai tempahan asal dan boleh digunakan sebagai bayaran untuk menempah mana-mana penerbangan AirAsia.

‘Credit shell’ sah untuk tiga bulan (90 hari) dari tarikh yang dikeluarkan.

airasia, pekanbaru, penerbangan

Artikel Lain