suria

Volkswagen Lanjut Waktu Operasi Pusat Perkhidmatan

Christoph Aringer.

KUALA LUMPUR: Volkswagen Group Malaysia berhasrat untuk mendapatkan kepuasan pelanggan lebih baik, sejajar dengan pelan pengembangannya.

Sebahagian daripada pelan itu adalah waktu operasi 29 pusat perkhidmatan Volkswagen berdaftar di Semenanjung Malaysia dilanjutkan, yang akan dibuka pada Ahad dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang bagi khidmat penyelenggaraan, bermula 16 Mac ini.

Pemilik kereta Volkswagen hanya perlu membuat temu janji beberapa hari bekerja lebih awal sebelum mahu menggunakan perkhidmatan itu pada Ahad bagi menetapkan temu janji itu dengan pusat khidmat yang dipilih.

Pengarah Urusannya, Christoph Aringer berkata, lanjutan waktu operasi itu dilaksanakan dalam tempoh terhad.

“Pada awalnya, kami merancang untuk melakukannya selama tiga bulan, bergantung pada permintaan pelanggan, dan ia boleh dilanjutkan lagi. Ini memberikan kemudahan fleksibel dan keselesaan lebih baik buat pelanggan yang mahu memastikan kereta mereka diselenggara.

Syarikat itu turut memperhebatkan program latihan profesional bagi jualan serta kakitangan selepas jualan menerusi rangkaian pusat perkhidmatan dan pengedar.

“Kami mempunyai 350 kakitangan jualan barisan hadapan dan 400 kakitangan selepas jualan dalam rangkaian Volkswagen. Tahun ini, kita akan meningkatkan latihan sebanyak 35% untuk rangkaian pusat perkhidmatan dan pengedar, sejajar dengan pertumbuhan kami,” kata Aringer.

Beliau berkata, Volkswagen berada pada kedudukan kedua dalam kepuasan khidmat pelanggan secara keseluruhan, menurut kajian Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI) J.D Power Asia Pacific 2013.

Syarikat itu merancang untuk menjual 20,000 kereta pada tahun ini, satu peningkatan yang signifikan berbanding 11,500 unit pada 2013.

Volkswagen, Christoph Aringer

Artikel Lain