suria

Lima Penumpang MH370 Dilindungi Oleh Allianz Insurance

Jens Reisch.

KUALA LUMPUR: Empat rakyat Malaysia dan seorang pelajar dari China yang menaiki pesawat MH370 yang hilang memiliki perlindungan insurans daripada Allianz Malaysia Bhd, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jens Reisch.

Beliau berkata empat daripada penumpang telah mengambil polisi insurans hayat manakala penumpang lain mengambil insurans kemalangan peribadi.

"Buat masa ini, kami belum mempunyai senarai penuh rasmi penumpang lagi. Apa yang kami ada sekarang hanya nama, usia dan kewarganegaraan.

"Jadi, kami tidak boleh mengatakan dengan pasti, tetapi daripada lima yang telah dikenal pasti (yang kami ada), kami boleh mengesahkan bahawa mereka adalah pelanggan kami.

"Kami (Allianz), buat masa ini berusaha sedaya upaya untuk menghubungi anggota keluarga mereka," katanya selepas memberi taklimat kepada pemberita mengenai prospek ekonomi global, pasaran sedang pesat membangun dan Malaysia, di sini, Rabu.

Jens berkata, Allianz akan menunggu hasil daripada misi mencari dan menyelamat sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Allianz yang berpangkalan di Jerman mengesahkan pada Isnin bahawa ia adalah penginsurans utama bagi pesawat Boeing 777-200ER Malaysia Airlines, yang hilang daripada radar di Laut China Selatan pada Sabtu. 

Syarikat itu bersimpati dengan semua yang terlibat dengan kehilangan pesawat MH370, dan berjanji untuk bekerjasama rapat dengan penginsurans bersama untuk menyokong pelanggannya. 

Meskipun nilai diinsurans pesawat berjumlah kira-kira RM328.11 juta (AS$100 juta), liabiliti dan pampasan biasanya dalam jumlah yang lebih tinggi.

MH370, yang sedang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal pada Sabtu.

Pesawat itu dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi pada hari yang sama tetapi dilaporkan hilang daripada radar pusat kawalan udara dua jam selepas ia berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa KL.


Artikel Lain