Matrade Tawar Program Pembangunan Kepada Syarikat Peringkat Pertengahan Berprestasi Tinggi

Diterbitkan: Isnin, 10 Mac 2014 3:36 PM

Matrade

Bangunan Matrade di Kuala Lumpur.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mencari syarikat peringkat pertengahan (MTC) berpotensi dan berprestasi tinggi untuk menyertai Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP).

MTC adalah syarikat yang menjana hasil tahunan sebanyak RM50 juta hingga RM500 juta bagi sektor pembuatan dan RM20 juta hingga RM500 juta untuk sektor perkhidmatan serta sektor lain.

"Melalui program ini, MTC akan menikmati pertumbuhan lebih cepat dan perluasan ke peringkat global. Peserta akan mempunyai laluan lebih baik ke pasaran baharu, diperkenalkan kepada segmen pelanggan/pasaran baharu di peringkat global dan menerima akses kepada institusi kewangan berwibawa di luar negara," demikian menurut agensi pelaksana itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ia berkata, kerajaan yakin program itu yang mempunyai 50 syarikat MTC berpotensi tinggi sebagai permulaan akan membangun dan merangsang MTC menjadi lebih berdaya tahan dan bersedia untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

Ini akan memberi sumbangan ke arah memperkukuh ekonomi Malaysia dan menambah jumlah pekerjaan berpendapatan tinggi, katanya.

Kerajaan berharap program berkenaan akan menjana sekurang-kurangnya RM6 bilion dalam bentuk pendapatan kasar negara, RM6 bilion dalam eksport dan lebih 130,000 pekerjaan menjelang 2020.

Satu sesi taklimat akan diadakan pada pukul 2 petang hingga 4 petang di sini pada Selasa.

Tags / Kata Kunci: matrade

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan