suria

FGV Rancang Perluas Perniagaan Di Vietnam, Tumpu Industri Getah

YANGON: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mengintai peluang untuk meluaskan operasinya di Vietnam dalam tempoh terdekat, dengan memberi tumpuan ke atas industri getah, kata Naib Presiden Kanan Perniagaan Antarabangsanya, Syahrilazli Mahammad.

"Kami juga sedang mengenal pasti rakan usaha sama," katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara FGV dan Pho La Min Trading Company Ltd di sini.

Beliau berkata selain Asean, FGV juga aktif mengenal pasti kawasan lain terutama di Afrika berdasarkan kesesuaian cuaca di rantau itu.

“Namun kami lebih berminat ke atas kawasan penanaman lama memandangkan ia akan memberi impak langsung kepada keuntungan kumpulan," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Emir Mavani Abdullah berkata, menjelang 2020, hasil kumpulan FGV akan memperoleh sekurang-kurangnya 50-55 peratus dariapda segmen laur negara berbanding 30 peratus ketika ini.

Mengulas mengenai syarikat usaha sama baharu ini, FGV Pho La Min Company Ltd, di Myanmar, beliau berkata FGV bukan sahaja berminat ke atas Myanmar, malah berminat meluaskan perniagaan ke Asia Tenggara terutama Indonesia dan Kemboja.

Namun, tidak seperti Indonesia, dengan FGV sudah terlibat dalam aktiviti huluan, beliau berkata syarikat itu akan menceburi aktiviti hiliran di Myanmar dan Kemboja untuk membiasakan penduduk dengan nama dan produk FGV.

"Kami mahu bekerja bersama-sama kerajaan dan rakyat dan membawa masuk produk kami selain Saji, produk minyak masak, yang sudah menembusi pasaran negara itu, sejak tahun lepas" katanya.

Ditanya sama ada Felda berminat untuk memperkenal konsep penempatan Felda kepada kerajaan Myanmar, katanya kerajaan negara ini sudah pun mempunyai konsep sendiri untuk mengurus pekebun kecil mereka.

"Kami mahu membawa masuk pakar teknikal bagi meningkatkan pulangan hasil ladang getah dan menyediakan mekanisme pembangunan ekonomi seperti di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, pulangan purata hasil di Myanmar ialah 1.1 tan sehektar setahun berbanding 1.5 setan setahun di Malaysia.


Artikel Lain