suria

Usahawan Felcra Perlu Elak Ambil Jalan Mudah Untuk Berjaya - Bung Mokhtar

Bung Moktar melawat pameran produk usahawan Felcra pada majlis perasmian Seminar Usahawan Transformatif Felcra Berhad di RTC Gopeng di Gopeng, Isnin. Foto BERNAMA

GOPENG: Usahawan di bawah Felcra Berhad digalakkan supaya mengembangkan perusahaan dan perniagaan mereka melalui agensi pemasaran seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain sedia mengguna pakai sistem bayaran kredit yang lebih menguntungkan.

Pengerusi Felcra Datuk Bung Moktar Radin berkata kebanyakan usahawan pada masa kini dilihat lebih menggemari perniagaan yang memberikan pulangan tunai segera tanpa melihat skop perniagaan lebih besar dengan sistem pemasaran kondusif dan berterusan.

"Kebanyakan usahawan pada hari ini selesa dengan perniagaan yang menjanjikan pulangan segera, mahu wang tunai dengan cepat sedangkan pelbagai agensi dan badan kerajaan seperti FAMA menawarkan bimbingan dari segi pelaburan perniagaan serta sistem kredit yang lebih besar kadar keuntungannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Usahawan Transformatif Felcra Berhad di Pusat Transformasi Luar Bandar di sini, Isnin.

Beliau berkata, penggunaan sistem bayaran kredit sebenarnya membantu usahawan meraih pendapatan yang lebih tinggi kerana agensi berkenaan akan menawarkan harga yang lebih tinggi berbanding pemborong atau orang tengah ke atas produk mereka serta mampu memasarkannya dalam jumlah lebih besar.

Oleh yang demikian, beliau akan membawa perkara tersebut kepada Jawatankuasa Pengurusan Usahawan Felcra untuk membincangkan kaedah efektif membantu usahawan di samping keyakinan diri supaya mereka ebih berani menyahut cabaran dunia keusahawanan, katanya.

"Peniaga dan pengusaha perlu berani untuk memecah tradisi sistem perniagaan yang sedia ada dan yakin kejayaan akan datang dengan usaha gigih", katanya.

Mengenai program pada Isnin, Bung Moktar berkata, seminar yang melibatkan 340 usahawan dari Kedah, Selangor dan Perak itu merupakan satu usaha murni kerajaan untuk melahirkan lebih banyak usahawan berdaya saing serta setaraf dengan usahawan lain.

"Kita akan sentiasa memberi sokongan kepada usaha Felcra dalam memperkasakan usahawan tempatan melalui bantuan dana, seminar dan bengkel di seluruh negara," katanya yang turut melancarkan logo Usahawan Desa Felcra.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 940 usahawan yang kesemuanya merupakan peserta Felcra di seluruh negara telah berdaftar di bawah agensi itu.

Mohammad Amaturrahman Sabudin, 29, peniaga air bikarbonat dari Perak yang menerima geran Cabaran Perniagaan Luar Bandar bernilai RM750,000 berkata, pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan serta agensi perlu diambil peluang oleh golongan belia dalam merealisasikan impian sebagai usahawan berjaya.

Sementara itu, sebanyak 64 usahawan Felcra berjaya membayar balik pinjaman dana masing-masing sebanyak RM60,000 pada tahun lepas dan mencapai keuntungan tahunan melebihi jumlah tersebut sekaligus meletakkan mereka sebagai usahawan bertaraf cemerlang.


felcra, usahawan, bung mokhtar

Artikel Lain