X Close

Yana Pilih Peragaan Walau Bergelar Peguam

Diterbitkan: Isnin, 20 April 2015 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MEMILIKI karakter manja dan wajah nan ayu, itulah yang dapat disimpulkan mengenai personaliti graduan jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nor Liyana Aziz ini yang juga calon pertandingan Model Muslimah Malaysia mStar.

Biarpun memiliki ijazah dalam bidang guaman, namun gadis kelahiran Selangor ini lebih meminati bidang peragaan muslimah yang semakin sebati dengan dirinya sejak empat tahun lalu.

"Saya memang meminati bidang fesyen, pada asalnya saya suka mengambil gambar di luar dengan aksi tersendiri, kemudiannya saya memuat naik gambar berkenaan di Facebook, selepas itu saya mula mendapat tawaran untuk menjadi model daripada beberapa syarikat busana muslimah. 


"Asalnya saya memang tidak pandai bergaya, namun rakan baik saya yang merupakan seorang jurukamera merupakan individu yang pertama mengesan bakat saya dalam bidang peragaan dan dia jugalah yang banyak mengajar saya teknik asas untuk memberikan 'pose' terbaik ketika sesi fotografi," katanya kepada mStar Online baru-baru ini. 

Yana lebih berminat jadi model muslimah berbanding seorang peguam. - Foto RICKY LAI/THESTAR

Ditanya kenangan manis selama menceburi bidang peragaan, gadis berusia 23 tahun yang lebih mesra dengan panggilan Yana ini berkata, dia pernah meraih tempat kedua pertandingan Roshni Next Top Talent, Disember tahun lalu. 

"Pengalaman menyertai pertandingan itu cukup berharga kerana saya banyak dapat belajar teknik terkini dalam bidang peragaan, malahan turut memenangi hadiah lumayan menerusi pertandingan itu," katanya. 

Meminati gaya yang ringkas, gadis manis ini tidak akan keluar rumah tanpa memakai kanta lekap, bukan itu sahaja dia juga sukakan aksesori seperti rantai yang unik untuk digayakan bersama busana muslimah yang digayakannya. 

Yana gemar fesyen yang ayu dan 'sweet'.

"Saya memang suka fesyen yang 'sweet' dan ayu . Jika busana, saya gemar rekaan, Hana Tajuddin kerana rekaannya yang unik serta materialnya yang lembut selesa dipakai," katanya yang meminati model muslimah, Adila Safiya. 

Selain meminati bidang peragaan, Yana turut memiliki bakat dalam bidang persolekan kerana dia berkebolehan menyolek pasangan pengantin pada majlis perkahwinan mahupun pertunangan. 

"Selain menjadi model saya juga menerima tempahan untuk menyolek pengantin, bagaimanapun bidang peragaan tetap menjadi keutamaan saya. 

"Lebih istimewa, keluarga memang menyokong penuh saya terlibat dalam bidang peragaan ini, cuma mereka selalu ingatkan saya sebagai model muslimah saya perlu menjaga etika berpakaian mengikut syariat Islam serta menjaga nama baik keluarga," katanya. 

Yana turut tidak lokek berkongsi tips untuk wanita yang ingin menceburi bidang peragaan muslimah, menurutnya apa yang penting adalah minat mendalam dan tidak mudah patah semangat. 

"Jangan mudah putus asa, tanamkan sifat sentiasa ingin belajar untuk memperbaiki teknik dalam bidang peragaan. Saya sendiri pun banyak keluarkan modal sendiri untuk ambil gambar menggunakan khidmat jurukamera profesional, selepas itu saya memuat naik di Facebook. 

"Bila orang mula yakin dengan kerja kita barulah kita akan terima banyak tawaran daripada pengusaha butik," katanya. 

Bercerita mengenai harapannya, Yana berkata, dia akan berlatih dengan bersungguh-sungguh dan memberikan persembahan terbaik sepanjang pertandingan Model Muslimah Malaysia mStar nanti. 


"Saya berharap dapat tersenarai hingga ke peringkat Top 5 atau Top 3. Namun semuanya bergantung kepada rezeki, jika ada rezeki saya alhamdulillah, yang penting saya akan berikan yang terbaik masa pertandingan itu nanti," katanya.

Biodata 

Nama: Nur Liyana Aziz 

Umur: 23 

Tempat lahir: Melaka

Tempat tinggal: Shah Alam, Selangor. 

Adik beradik: Anak tunggal

Cita-cita: memiliki perniagaan sendiri. Contohnya butik perkahwinan dan solekan sendiri. 

Hobi:  Membaca, melancong, menata rias wajah pengantin

Makanan kegemaran: Ayam masak lemak cili api

Rancangan kegemaran: The Face, American Next Top Model, Crime Scene Investigation (CSI)

Perkara yangg tidak disukai: Orang yang suka menangguh kerja dan tidak bertanggungjawab 

Ciri-ciri lelaki pilihan: baik, tegas, boleh membimbing 

Rancangan masa depan : ingin berjaya dalam bidang peragaan muslimah




Yana

  • 1 of 7
  • Yana1

  • Yana2

  • Yana3

  • Yana4

  • Yana5

  • Yana6

  • Yana7

x
Bagi mengundi model ini, sila rujuk langkah berikut:
  1. Kongsi artikel ini di Facebook - 5
  2. Kongsi artikel ini di Twitter - 5
  3. Embed video ini di media sosial - 5
  4. Nyatakan komen positif di artikel ini menerusi akaun Facebook - 10
  5. Nyatakan komen positif di artikel ini menerusi akaun Twitter - 10

Tempoh mengundi: 20 April - 20 Mei, 2015
Tags / Kata Kunci: Yana , Model Muslimah Malaysia mStar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan