suria

Anak terkejut, ‘bapa pemalu’ beritahu nak nikah lagi 2 minggu... umur ibu tiri hanya beza 2 tahun - “Sikit pun tak rasa mummy rampas tempat mama”

Yana (foto kiri) berkongsi tentang ibu tirinya, Mummy (kanan) yang kini menceriakan kehidupan keluarganya. Gambar kanan menunjukkan keakraban Yana (kanan) dan Mummy. Foto ihsan Shazrieeyana Shukri

STATUS sebagai ibu atau bapa tiri sering kali menjadi kebencian dalam masyarakat meskipun bapa atau ibu kita, masing-masing lama menduda dan menjanda.

Namun berbeza dengan wanita ini apabila hatinya terbuka menerima ibu tiri dalam kehidupan mereka adik-beradik walaupun hakikatnya hanya berbeza dua tahun berbanding usianya.

“Ni mak tiri dan ayah saya. Umur dia 37 tahun dan I pula 35 tahun. Ayah saya 58 tahun,” tulisnya menerusi satu perkongsian di laman Twitter sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mentua mastermind buat kejutan untuk menantu... ini memang ‘rare’! “Kena tunggu berdiri di sebalik langsir... separuh kek juga dia habiskan”

ARTIKEL BERKAITAN: Pelan awal tak menjadi, kereta ibu mentua buat hal lagi, “Mak jangan panggil pomen ya, tunggu kami datang”

Wanita berkenaan, Shazrieeyana Shukri, 35, berkata, bapanya menduda selama empat tahun selepas pemergian ibunya akibat kanser paru-paru pada 2008.

Ibu tiri Yana (kiri) bersama bapanya.

Lebih mesra dengan panggilan Yana, katanya, mereka bimbang dengan keadaan bapa yang tinggal berseorangan di Alor Setar, Kedah sementara mereka adik-beradik menetap di Kuala Lumpur, manakala seorang adik lagi di Dubai.

“Kami adik-beradik ada minta ayah cari isteri yang boleh jaga dan buat dia happy, tapi dia tak boleh nak move on sebab masih teringat arwah mama... ayah kata mama ni first girlfriend dia.

“Selepas dua tahun mama meninggal dunia, kami adik-beradik cuba usahakan sesuatu untuk seseorang dapat jaga ayah. Masalahnya ayah ni jenis pendiam dan tidak bersosial sangat, jadi malu untuk mulakan relationship,” katanya kepada mStar.

Yana bersama keluarganya.

Yana yang merupakan ibu kepada dua anak berkata, mereka adik-beradik kemudian dikejutkan dengan keputusan bapanya yang telah menemui pasangan yang sesuai, kira-kira dua minggu sebelum hari pernikahan pada 2013.

“Ayah kenal wanita tu selepas diperkenalkan oleh kenalan ayah. Saya paling terkejut apabila dapat tahu wanita tu hanya dua tahun lebih tua daripada saya.

“Tak sangka jarak umur terlalu dekat, muka pun macam sebaya saja dengan saya. Sampai pernah tertanya-tanya, boleh ke dia jadi mak kita? Memanglah terkejut, tapi dialah yang ayah suka, dah sampai jodoh ayah... kami adik-beradik terima seadanya,” ujar anak sulung daripada tiga beradik itu.

Yana (tengah) bersama adik-adiknya. Foto instagram Shazreeyanashukri

Mengakui pada awalnya agak kekok atas faktor usia itu membuatkan Yana dan adik-beradiknya memanggil wanita itu dengan panggilan Kak Na, tapi sekarang ni mereka memanggilnya dengan panggilan mummy atau nenna.

“Syukur, arwah mama semasa hayatnya ajar kami erti kasih sayang yang sebenar. Sedikit pun kami tak rasa mummy rampas tempat mama. 

Banyak perkara yang saya tak sempat buat bersama arwah mama sebab masa tu saya masih belajar dan tak ada duit sendiri, jadi ada mummy ni saya dapat bahagiakan seorang ibu.

YANA

“Bagi saya, mummy merupakan seorang wanita yang lemah-lembut, lebih matang daripada usianya dan paling penting dia menjaga ayah kami dengan baik.

“Personalitinya yang amat disenangi itu membuatkan saya dan mummy rapat seperti kawan-kawan. Ada kenalan ingatkan saya dan mummy macam adik-beradik,” kata Yana yang merupakan pengasas produk kosmetik dan penjagaan kulit.

Yana terkejut mengetahui ibu tirinya hanya dua tahun lebih tua daripadanya.

Yana yang juga jurusolek artis (MUA) berkata, keakraban itu membuatkan dia dan ibu tirinya selesa untuk meluangkan aktiviti berdua bersama-sama.

“Saya dan mummy berjalan-jalan berdua, saya bawa dia pergi shopping. Malah, saya juga tolong mekapkan mummy selain masak bersama-sama. Macam best friend!

“Banyak perkara yang saya tak sempat buat bersama arwah mama sebab masa tu saya masih belajar dan tak ada duit sendiri, jadi ada mummy ni saya dapat bahagiakan seorang ibu.

“Dulu, masa arwah mama belum sakit, saya pernah cakap untuk tunaikan hasrat bawa mama pergi menunaikan umrah, tapi tak kesampaian. Jadi, kami merancang untuk bawa mummy dan ayah untuk lakukan ibadah umrah tahun ini, insyaAllah,” katanya.

Yana bersyukur apabila bapanya kini gembira menemui teman hidup.

Menurut Yana, perkongsiannya itu untuk menunjukkan bahawa ibu bapa yang hidup bersendirian berhak untuk mempunyai pasangan baharu yang boleh menjaga mereka.

“Sebagai anak, kita tidak boleh pentingkan diri sendiri, hanya fikir apa yang kita nak saja. Tapi kena fikirkan ibu bapa yang dah lama hidup single, mereka mungkin sengsara dan sunyi apabila hidup keseorangan.

“Mungkin ada yang fikir ayah atau ibu tak akan sayang kita bila dah ada pasangan baharu. Mungkin ada kes macam tu, tapi tak semua. Jodoh itu adalah ketentuan Tuhan, kita sebagai manusia hanya perlu terima dan reda,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ibu tiri, arwah, mama, mummy, best friends, ayah

Artikel Lain