suria

Setahun menetap di Kelantan, wanita UK ini bikin orang Malaysia di New Zealand terkejut - “Sayo tak make budu tapi make duye”

Video wanita Mat Salih fasih bertutur dalam loghat Kelate menjadi tular di media sosial.

GELAGAT seorang wanita mat salih petah bertutur loghat Kelantan yang videonya tular di Twitter mendapat pujian netizen.

Video berdurasi 48 saat yang dimuatnaik seorang pelayar Twitter itu memaparkan sekumpulan pemuda dari Malaysia bertemu dengan wanita berasal dari Manchester, United Kingdom (UK) ketika melancong ke New Zealand.

Malah video itu mendapat hampir 50,000 tontonan di platform media sosial itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bahasa Inggeris tak betul tak jadi masalah buat Tunku Azizah - “Saya tidak malu kerana itu bukan bahasa ibunda saya”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tiada niat perlekeh orang Terengganu...” - Maya Karin mahu mutu pendidikan bahasa Inggeris diberi penekanan

Dalam video itu wanita tersebut berkata dia fasih bertutur loghat Kelantan kerana pernah menetap di negeri itu selama setahun.

"Dulu sayo dok Klate kat Kube Krian (Kubang Kerian) setahun. Ado saing (kawan) orghe Klate," katanya.

Posting berkenaan video itu mendapat perhatian netizen.

Malah wanita itu turut memberitahu dia tidak makan budu tapi amat menyukai durian.

"Sayo tak make budu tapi sayo make duye," katanya ringkas.

Kebolehan wanita itu yang mampu menguasai loghat Kelantan dalam masa setahun turut membuatkan sekumpulan pemuda dari Malaysia itu teruja.

"Masya-Allah. Ini orang Melayu betul ni. Please come again to Kelantan," kata seorang pemuda dalam video itu sebelum dibalas 'ya' oleh wanita itu.

Dalam pada itu, netizen turut meluahkan rasa kagum terhadap wanita itu.

Antara komen netizen berkaitan posting tersebut.

"Impressive, mat saleh ni duduk Kelantan setahun, boleh cakap Melayu dengan loghat sekali. Unlike the famous 'Malaysian Citizen' yang tinggal berapa puluh tahun di sini tu, sampai kena buat Bahasa Melayu challenge dan upload on YouTube," kata Mein.

"Pembantu rumah nenek saya menjaganya di Kelantan selama tujuh tahun, bertukar slanga Indonesia kepada Kelate. Amat menyeronokkan melihat perkara seperti ini berlaku," tulis Dihah.

Sebelum ini usahawan wanita terkenal, Datin Vivy Yusof pernah dikecam kerana melakukan 'BM Challenge' dengan bertutur sepenuhnya dalam bahasa Melayu selama sehari.

Malah netizen menyifatkan tindakan Vivy sebagai memalukan kerana tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu sedangkan warga asing yang datang bekerja di negara ini fasih bertutur dalam bahasa ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain