suria

Rakyat Malaysia perlu sedia hadapi kebiasaan baharu - “Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh buat lagi”

Bazar Ramadan tidak akan diadakan pada tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19.

RAKYAT Malaysia dinasihatkan untuk bersedia mendepani kebiasaan baharu atau the new normal, berikutan penularan wabak Covid-19.

Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas beliau, petang Jumaat.

"Kehidupan kita untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang ini tidak akan kembali seperti biasa. 

"Kita akan menjalani kehidupan dengan the new normal atau kebiasaan baharu. Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi," katanya.

Sebagai contoh, Muhyiddin berkata, antara amalan yang sering dilakukan oleh rakyat Malaysia adalah tidak perlu dilakukan adalah berjabat tangan.

"Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat. Kalau tak dibuat ianya dianggap janggal, atau tak beradab. 

"Tetapi sekarang ini lain. Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus. 

"Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat, macam orang Jepun. Ini adalah the new normal, atau kebiasaan baharu," katanya.

Beliau turut menasihatkan rakyat untuk terus mengamalkan kebersihan dengan membasuh tanggan menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).

Antara langkah-langkah pencegahan lain daripada jangkitan Covid-19, katanya, adalah menerusi pemakaian topeng muka.

"Sekarang dan untuk masa yang akan datang kita mesti biasakan membasuh tangan dengan lebih kerap.

"Gunakan sabun, hand sanitizer dan sebagainya. Juga memakai face mask," katanya.

Muhyiddin berkata, selagi penularan Covid-19 masih berlaku, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. 

"Elakkan sebarang perhimpunan, hindari tempat yang sesak," katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Kita tidak boleh ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Jadi berterawihlah di rumah bersama keluarga.

"Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa. Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi," katanya.

Artikel Lain