suria

Individu ingkar PKP dikompaun RM1,000 bermula hari ini

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi (dua,kanan) ketika melawat Op Penawar di Jalan Tambun, Ipoh pada Rabu. fotoBERNAMA

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 bermula Rabu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (gambar) berkata mereka yang dikenakan kompauan perlu membuat pembayaran di Pejabat Kementerian Kesihatan dalam tempoh dua minggu dari tarikh ia dikeluarkan.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara berkenaan untuk rujukan pegawai dan anggota selain borang kompaun telah diedarkan ke semua kontinjen polis negeri.

"Mereka yang ingkar PKP akan dibawa ke balai polis terlebih dahulu sebelum diberikan kompaun dan sekiranya enggan membayar kompaun, mereka boleh meminta untuk dibicarakan," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman pada Rabu.

Beliau mengingatkan orang ramai untuk mematuhi PKP dan sentiasa berada di dalam rumah masing-masing.

“Jumlah RM1,000 ini bukan satu nilai yang kecil, jadi janganlah ambil mudah perkara ini dan bantulah kami untuk putuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya akan memeriksa setiap lori dan penghantar makanan di semua sekatan jalan raya susulan ada cubaan menyeludup barang terlarang seperti rokok.

“Dalam tempoh PKP,  jenayah indeks di seluruh negara menunjukkan penurunan sebanyak 67 peratus iaitu daripada 350 kes sehari kepada 116 kes,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 66 warga PDRM disahkan positif Covid-19 manakala 1,225 lagi sedang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing. 

“Mereka yang dikuarantin terdiri daripada 155 pegawai kanan, 654 pegawai rendah, 35 pegawai awam dan 381 ahli keluarga mereka,” katanya. - BERNAMA

SOP, PDRM, kompaun, ingkar, PKP

Artikel Lain