suria

“Beri maklumat secara jujur...” - KKM dedah kluster sejarah perjalanan ke Itali telah ragut 5 nyawa, 37 sah positif Covid-19

KKM meminta orang ramai berlaku jujur dalam memberikan maklumat bagi memudahkan pihak mereka mengambil tindakan susulan dengan pantas.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) meminta mana-mana individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19, mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau menghadiri perhimpunan yang berkait rapat dengan penularan jangkitan wabak agar berlaku jujur bagi memudahkan pihak kementerian mengambil tindakan proaktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kegagalan berbuat demikian hanya mengakibatkan situasi yang lebih buruk, sebagaimana satu kluster yang mempunyai sejarah perjalanan ke Itali.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 179 kes baharu, 4 lagi korban Covid-19 dengan jumlah keseluruhan 61 kematian

"KKM ingin menegaskan bahawa adalah amat penting supaya masyarakat memberi maklumat secara jujur sekiranya mempunyai sejarah kontak rapat kes positif Covid-19, sejarah perjalanan ke luar negara atau kehadiran ke perhimpunan yang diumumkan oleh KKM sebagai berkait rapat dengan penularan jangkitan Covid-19.

"Sebagai contoh, daripada hasil siasatan yang telah dijalankan, terdapat satu kluster yang wujud daripada kes indeks positif Covid-19 yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Itali iaitu kes ke-1580.

"Setakat ini daripada kluster tersebut, 37 orang telah disahkan positif Covid-19, di mana terdapat lima kes kematian (iaitu kes ke-1031, kes ke-1032, kes ke-1006, kes ke-2850 dan kes ke-2210), serta satu satu kes kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Kluster ini telah melibatkan jangkitan sehingga generasi ke-3," katanya sewaktu sidang media harian Covid-19 pada Ahad.

Ketika ditanya lebih lanjut, Dr Noor Hisham berkata kes yang ke-1580 itu adalah rakyat Malaysia yang pulang melancong dari Itali.

"Dia pelancong, ke Itali dan selepas pulang dia menjangkiti seorang demi seorang sehingga generasi ke-3. Lihat, satu kes menjangkiti sampai 37 orang.

"Justeru adalah penting untuk kita beri maklumat kepada KKM dan petugas penjagaan kesihatan," ujarnya lagi.

Tambah Dr Noor Hisham, sehingga 5 April 2020 sebanyak 180 buah negara di seluruh dunia dilaporkan terjejas akibat jangkitan Covid-19.

"Justeru, sememangnya terdapat risiko bagi kes-kes Covid-19 luar negara diimport ke dalam negara dan mengakibatkan penularan dalam negara.

“Selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan ditempatkan di stesen kuarantin yang disediakan.

“Di pintu masuk negara, mereka akan menjalani saringan kesihatan bagi mengesan demam dan gejala Covid-19, manakala ujian pengesanan akan dijalankan serta mereka dipantau selama 14 hari di stesen kuarantin,” katanya lagi.

Artikel Lain