suria

3,000 peserta tabligh dipantau kerana masih belum disaring - “Mungkin ada yang tak kembali lagi, mungkin keluar negara”

KKM masih memantau lebih kurang 3,000 jemaah tabligh yang pernah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling. Gambar hiasan/Foto Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) masih memantau lebih kurang 3,000 jemaah tabligh yang pernah menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara sebab lebih kurang 3,000 orang masih belum disaring kerana mereka yang keluar negara masih belum kembali sejak hadir himpunan itu. 

"Mungkin ada yang tidak kembali lagi, mungkin ada yang keluar negara, contohnya ke Sulawesi dan India. Jemaah itu keluar 40 hari dan tidak balik lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Nurse menitik air mata! Dedah keadaan mengejutkan di wad pesakit tabligh, tersentak dengar soalan mereka - “Tahu tak dalam tu semua ilmu agama tinggi”

ARTIKEL BERKAITAN: Nurse rasa kerdil rawat pelajar tahfiz, menangis dengar azan - “Kami berjuang dengan baju berlapis-lapis, bila masuk wad rasa tenang”

"Kami masih memantau dan kami ada rekod. Diharapkan apabila mereka kembali mereka akan disaring dan dikuarantin untuk tempoh 14 hari," katanya dalam sidang media harian Covid-19, Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, peserta perhimpunan di Masjid Sri Petaling yang sudah disaring setakat ini ialah 19,032 orang dengan bilangan sampel yang telah diambil ialah 15,970. 

"Kes positif untuk jemaah di Masjid Sri Petaling ialah 1,465 kes manakala 10,213  kes negatif dan kes pending (masih belum selesai) ialah 4,292. Masih belum disaring lebih kurang 3,000," katanya. 

Dr Noor Hisham berkata, antara sebab Selangor mempunyai jumlah kes positif tertinggi kerana 50 peratus daripada kes itu ada berkaitan dengan jemaah yang pernah berhimpun di Masjid Sri Petaling, dan sekarang ini telah menular dalam kalangan sekolah madrasah. 

"Jadi sekarang lihat perkampungan Hulu Langat ada 300 kes positif setakat ini. Di Selangor lebih kurang 600 lebih dan separuh daripada kes itu adalah dari Hulu Langat," jelasnya. 

Beliau berkata, berlaku pertambahan kes di Hulu Langat pada Jumaat dengan 300 kes daripada 287 sebelum ini, di Kampung Sungai Lui ada 90 kes yang 25 berkaitan dengan jemaah di Masjid Sri Petaling dan 65 kes kontak rapat. 

Dr Noor Hisham berkata, 18 kes positif COVID-19 dikesan di Menara Plaza One City setakat Jumaat.

Justeru, beliau menyarankan penguatkuasaan komuniti di setiap kawasan perumahan untuk memastikan kebersihan setempat untuk mencegah penularan Covid-19.

"Kita boleh meningkatkan lagi (penguatkuasaan ini) dan kami juga melihat dengan teliti di kawasan hotspot. Jika terdapat peningkatan kes sama ada 10, 20 atau 40 kes dalam tempoh satu hari, itu adalah isyarat untuk kami kuatkuasakan PKP di kawasan itu yang menunjukkan berlakunya transmisi virus,” katanya. - Bernama

tabligh, saring, Masjid Seri Petaling

Artikel Lain