suria

Malaysia catat 208 kes baharu Covid-19, terkini ragut lima lagi nyawa

Malaysia merekodkan lima lagi kes kematian akibat Covid-19pada Khamis.

WABAK Covid-19 di Malaysia merekodkan 208 kes baharu, menjadikan 3,116 kes keseluruhan setakat ini.

Perkara itu dimumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang media pada Khamis petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah kes Covid-19 terus meningkat kepada 2,908, terkini 45 kematian

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut mengumumkan lima kes kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini.

Infografik oleh KKM mengenai lima kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini.

"Sehingga 2 April 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 208 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,116 kes.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa sehingga kini terdapat pertambahan lima lagi kes kematian berkaitan COVID-19," katanya.

Selain kes kematian, Dr Noor Hisham turut memperincikan kes pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sehingga kini, terdapat 105 kes sedang dirawat di ICU yang mana 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, terdapat 122 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 767 kes bersamaan 24.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Berikut adalah butiran kes baharu kematian Covid-19:

-Kes kematian ke-46 (kes ke-2909) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 37 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik dan rendah imuniti. Beliau telah dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 28 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 2020 jam 11.10 malam.

-Kes kematian ke-47 (kes ke-2910) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan gout. Beliau telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor pada 17 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 7.10 malam.

-Kes kematian ke-48 (kes ke-2572) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 29 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 8.01 pagi.

-Kes kematian ke-49 (kes ke-1273) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke2107). Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 1 April 2020 jam 8.36 malam.

-Kes kematian ke-50 (kes ke-1767) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 69 tahun. Beliau telah dirawat  di Hospital Tuanku Ja'afar, Negeri Sembilan pada 22 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 2 April 2020 jam 2.20 petang.

Covid-19, PKP, KKM, Datuk Dr Noor Hisham

Artikel Lain