suria

Keputusan ujian saringan Covid-19 ke atas warga AS kekal: TPM

Dr Wan Azizah (dua, kiri) bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas 'High Level Committee' Berhubung Isu Penumpang Kapal Persiaran Westerdam dan Kluster Penyakit COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada Ahad. - fotoBERNAMA

KEMENTERIAN Kesihatan telah menjalankan ujian ulangan COVID-19 ke atas pasangan suami isteri warga Amerika Syarikat yang merupakan penumpang Kapal Persiaran Westerdam, dan menerima keputusan sama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ujian ulangan COVID-19 itu dijalankan ke atas mereka lewat malam tadi dan keputusan sama diperolehi iaitu positif bagi isteri dan negatif bagi suami beliau.

“Hasil ujian pengesanan COVID-19 pada 15 Feb lepas mendapati isterinya, 83 tahun adalah positif. Pesakit mengalami gejala batuk tetapi tiada demam atau sesak nafas, dan dapatan X-ray beliau menunjukkan tanda radang paru-paru.

“Manakala ujian ke atas suaminya didapati negatif COVID-19. Namun beliau kini menerima rawatan bagi jangkitan bakteria yang dialami,” katanya pada sidang media perkembangan terkini jangkitan COVID-19, di Putrajaya pada Ahad.

Dr Wan Azizah berkata pasangan suami isteri itu merupakan antara 145 penumpang penerbangan sewa khas Malaysia Airlines MH8763 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville, Kemboja yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 petang, Jumaat.

Kesemua 145 penumpang itu telah menjalani saringan kesihatan dan didapati pasangan suami isteri itu dikesan bergejala melalui pemeriksaan pengimbas terma dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan selanjutnya. - BERNAMA

Artikel Lain