suria

Kes bakar tahfiz, remaja menangis teresak-esak selepas diperintah bela diri

Juri Aini Tumin, 56, bersama anaknya yang kini berusia 19 tahun selepas Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan anaknya itu daripada pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, hampir tiga tahun lepas. -fotoBERNAMA

SEORANG remaja lelaki  menangis teresak-esak selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkannya membela diri atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran yang menyayat hati,  tiga tahun lepas.

Remaja berumur 19 tahun itu yang memakai kemeja-T hitam dan berseluar jean biru yang duduk dalam kandang tertuduh, tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak selepas peguamnya Haijan Omar menjelaskan kepadanya keputusan yang dibacakan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Dia kemudiannya  ditenangkan oleh ibunya.

Sementara itu rakannya yang juga berumur 19 tahun yang dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan sama, dilihat meraup muka tanda syukur selepas keputusan itu.

Kedua-dua mereka berpelukan selepas prosiding selesai.

Hakim Azman memerintahkan remaja itu membela diri atas 23 pertuduhan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas remaja berkenaan dan menetapkan 2 dan 3 Mac untuknya membela diri.

Mahkamah  itu melepas dan membebaskan rakannya tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan sama.

Peguam Haijan Omar ketika ditemui selepas Mahkamah Tinggi pada Isnin melepas dan membebaskan anak guamnya yang berumur 19 tahun atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, hampir tiga tahun lepas. -fotoBERNAMA

Mengikut pertuduhan, dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Kedua-dua mereka  didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan  Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala kedua-dua remaja itu diwakili peguam Haijan dan Ravin Jay.

Haijan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan menyerahkan senarai saksi pembelaan kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.

Seramai 71 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 30 Mei 2018.

Antara yang memberi keterangan pada perbicaraan itu ialah  Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Edwin Galan Teruki yang memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa  injap pada dua tong gas yang dijumpai susulan kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah telah dicucuk bagi membolehkan ia mengeluarkan gas yang dihalakan ke pintu asrama yang didiami penghuni pusat itu.

Pegawai Sains Yusnita Osman dalam keterangannya berkata terdapat kesan cecair petrol pada bahan bukti ditemui pada sisa kebakaran dan simen dinding pusat tahfiz yang terbakar itu.

Sementara itu, perisik di Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ASP Mohd Shafizan Sazali dalam keterangannya berkata seorang daripada remaja terbabit menyimpan pemetik api yang digunakan semasa kejadian kebakaran di pusat tahfiz berkenaan di dalam bilik tidur rumahnya. 

Dalam pada itu, bapa remaja lelaki yang dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengakui bersyukur atas keputusan berkenaan.

Ditanya media apakah perancangan untuk anaknya selepas ini, bapa berusia 56 tahun itu berkata mungkin akan menghantar anaknya menyambung pelajaran.

“Harapan tentulah mak ayah mahu anaknya menjadi yang baik, tetapi ini sudah ketentuan dia (anaknya) pak cik terima,” katanya kepada media selepas keputusan di akhir kes pendakwaan hari ini.

Bagaimanapun, remaja lelaki berusia 19 tahun itu ketika ditemui media berkata: “Tak boleh nak cakap apa-apa.”

Dia yang memakai baju kemeja-T putih dan berseluar jean biru kemudian dipeluk erat oleh bapanya selepas keluar mahkamah.

Remaja itu juga menganggukkan kepalanya ketika media bertanyakan adakah dia berasa sedih apabila rakannya diperintahkan membela diri atas pertuduhan sama.

Kedua-dua beranak itu kemudiannya melambai ke arah pihak media sebelum meninggalkan perkarangan mahkamah.-Bernama

kebakaran, tahfiz, mahkamah, bunuh, Keramat

Artikel Lain