suria

Tiada kemasukan pelancong dari Wuhan sejak 23 Januari... kes koronavirus kekal 4

Dr Dzulkefly membuat tinjauan di Terminal Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad. Foto: Bernama

SUSULAN kebimbangan orang awam mengenai wabak koronavirus yang dibawa oleh pelancong China, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Isnin mengesahkan bahawa tiada kemasukan pelancong dari Wuhan ke Malaysia sejak 23 Januari lepas.

Menurut Dzulkefly, pada tarikh yang sama, pihak berkuasa China mengisytiharkan ‘lockdown’ dan menghalang penduduk di Wuhan meninggalkan kawasan berkenaan berikutan wabak berkenaan.

“Bagi jumlah warga China yang masuk ke Malaysia sebelum 23 Januari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mendapatkan maklumat,” katanya kepada pemberita.

ARTIKEL BERKAITAN: TPM pengerusi mesyuarat bincang wabak koronavirus

ARTIKEL BERKAITAN: “Negara sendiri kenapa tak boleh ambil tindakan sendiri?” - Ramai kecam kerajaan ikut garis panduan WHO, fakta ini mungkin buat anda sedikit tenang

Terdahulu Dr Dzulkefly melakukan lawatan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang pada Ahad.

Jelas Dzulkefly, setakat ini kes positif koronavirus di Malaysia kekal empat, sementara kes ‘pending’ iaitu menunggu keputusan makmal ialah lima dan kesemuanya melibatkan warga China.

Daripada lima kes pending itu, dua di Langkawi, Kedah, dua lagi di Kuala Lumpur dan satu kes terbaharu di Bintulu, Sarawak, katanya lagi.

Tambah beliau, kes koronavirus dikesan di Malaysia berdasarkan dua kategori dengan kategori pertama adalah mereka yang mempunyai pengesanan sentuh dengan pesakit yang positif, manakala kategori kedua ialah mereka yang menunjukkan simptom dan disyaki dijangkiti Koronavirus.

“Jumlah kes kumulatif bagi kategori ini setakat ini ialah 38 kes dengan satu daripadanya positif, 32 negatif dan lima menunggu keputusan makmal,” kata Dzulkefly.

Tambah beliau, sehingga 3.00 petang Ahad (26 Januari) seramai 164,692 pengembara telah tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan menjalani saringan.Daripada jumlah itu, sembilan pengembara telah dirujuk untuk pemeriksaan lebih lanjut, katanya lagi.

“Bagaimanapun, kesemua pengembara ini didapati tidak memenuhi kriteria Patient Under Investigation bagi koronavirus, sebagaimana yang ditetapkan dalam tatacara pengurusan virus berkenaan,” tambah beliau.

Tambahnya, kesemua pengembara telah dibekalkan dengan kad amaran kesihatan di mana sekiranya gejala yang dialami semakin serius, pengembara berkenaan perlulah mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang berdekatan. - BERNAMA

Artikel Lain