suria

Pelajar cemerlang UniSZA miliki syarikat 'runner' bernilai RM1 juta

Muhammad Ziyad (kanan) bersama rakan kongsinya Khairul Ikhwan ketika ditemui di pejabat mereka di TD1303 baru-baru ini. FotoBERNAMA

DI saat mahasiswa lain runsing memikirkan pekerjaan selepas tamat pengajian, Muhammad Ziyad Mohd Yazid pula sudah memiliki sebuah syarikat, GetMove Sdn. Bhd, yang bernilai RM1 juta.

Meminati dunia perniagaan, pelajar berumur 23 tahun daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu melangkah jauh ke hadapan berbanding mahasiswa biasa dengan menjalankan perniagaan menguruskan perkhidmatan penghantaran barang atau ‘runner’ yang dijenamakan sebagai ‘GetRunner’, melalui syarikatnya itu.

Pelajar tahun akhir Fakulti Sains Sosial Gunaan itu berkata, syarikat yang diasaskan bersama dua lagi rakan iaitu Khairul Ikhwan Zulkefly, 27, dan Wan Muhammad Amirul Amin, 22, pada tahun lepas diilhamkan daripada pengalamannya bergelar ‘runner’ sejak tahun pertama di universiti.

“Pada waktu itu ramai rakan tidak mempunyai kenderaan, jadi saya yang mempunyai kenderaan ini menolong mereka menyelesaikan pelbagai urusan seperti membeli makanan dan menghantar barang.

"Dari situ saya terfikir yang potensi dalam bidang ‘runner’ ini sangat besar. Jadi saya pun serius mengatur langkah untuk membuka syarikat ini.

“GetRunner merupakan sebuah platform menghubungkan para ‘runner’ dengan pelanggan yang memerlukan pelbagai jenis perkhidmatan, termasuk penghantaran makanan dan barang, pembayaran bil serta penghantaran ‘surprise’. Mereka hanya perlu daftar dalam website kami. Kami akan cari ‘runner’ untuk mereka,” katanya ketika ditemui.

Kini syarikat tersebut menyediakan perkhidmatan di tujuh daerah di Terengganu dan di Kulim, Kedah serta Kota Bharu, Kelantan dengan mempunyai 107 ‘runner’.

Muhammad Ziyad (kanan) dan Khairul Ikhwan Zulkefly bersama pekerja mereka Ahmad Zaharuddin Zakaria, 53, (dua, kiri) dan Ayuslida Arsad. fotoBERNAMA

Antara matlamat utama Muhammad Ziyad mengasaskan perniagaan seumpama ini adalah membantu masyarakat termasuk pelajar dan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk menjana pendapatan secara fleksibel dan mudah.

Anak muda berasal dari Shah Alam, Selangor ini menganggap dirinya bertuah kerana memperoleh geran hasil menyertai pertandingan keusahawanan dan ia dijadikan modal untuk membuka syarikat tersebut.

“Selain menerima pelaburan daripada beberapa individu, saya juga bertuah kerana memperoleh geran sebanyak RM20,000 daripada program Khazanah Nasional Entrepreneurship Outreach pada 2018 dan RM20,00 daripada program Teraju Superb Higher Education League pada 2017. Hasil kemenangan ini saya pertaruhkan untuk membuka syarikat,” katanya.

Katanya, selain membangunkan aplikasi GetRunner bagi telefon pintar pada Februari 2020, beliau dan rakan-rakan menyasarkan untuk meluaskan perkhidmatan di setiap satu daerah pada setiap bulan bermula tahun depan.

Walaupun sibuk menguruskan perniagaannya, Muhammad Ziyad tidak pernah mengabaikan pelajaran dan sentiasa cemerlang dalam peperiksaan sehingga menerima Anugerah Dekan setiap semester.

Selain itu, beliau juga diberikan Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2018 atas sumbangan dan penglibatan aktif dalam pelbagai kelab dan persatuan termasuk mengasaskan Kelab Keusahawanan UniSZA pada tahun pertama pengajiannya.

Ditanya mengenai rahsia kejayaan dalam bidang akademik, Muhammad Ziyad berkata, beliau memberikan tumpuan 100 peratus di dalam kelas dan menyelesaikan setiap tugasan yang diberi dengan bersungguh-sungguh. - BERNAMA

Artikel Lain