suria

Dakwaan Yusoff Rawther: Anwar beri keterangan di Bukit Aman

Anwar hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan dakwaan dia mencabul seorang pemuda, Muhammed Yusoff Rawther pada 2 Oktober tahun lalu. Foto: Bernama

DATUK Seri Anwar Ibrahim pada Khamis hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan dakwaan dia mencabul seorang pemuda, Muhammed Yusoff Rawther pada 2 Oktober tahun lalu.

Presiden PKR itu dalam satu kenyataan berkata sepanjang proses itu, beliau telah memberikan fakta dan kerjasama sepenuhnya kepada polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Terima kasih Tun M, semua - Anwar 

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar enggan sertai Kabinet sekiranya berlaku rombakan

“Sejurus itu mereka (polis) bersama saya yang turut disertai peguam Ramkarpal Singh telah ke rumah untuk melengkapkan siasatan.

“Saya menghargai tindakan dan layanan pegawai polis yang menjalankan tugas dengan penuh profesional sepanjang proses berlangsung,” katanya.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata Anwar hadir bersama peguam serta setiausahanya pada pukul 3.45 petang.

“Beliau memberi kerjasama yang baik dalam sesi yang berlangsung kira-kira satu jam setengah,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed pada Rabu berkata pihaknya akan memanggil Anwar dan beberapa saksi lain yang berkaitan untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

Menurut Huzir, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta beberapa cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan.

Sebelum ini, Muhammed Yusoff yang juga bekas pegawai penyelidik membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul supaya polis menyiasat dakwaannya dicabul pemimpin tertinggi PKR itu.

Dalam laporan yang sama beliau turut menzahirkan kebimbangan akan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.

Muhammed Yusoff sebelum itu turut membuat perakuan bersumpah berhubung dakwaannya itu, namun perkara itu dinafikan Anwar. - BERNAMA

Artikel Lain