suria

Perokok ingkar larangan di kedai makan didenda RM10,000 bermula 1 Januari 2020

Kementerian Kesihatan giat menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan. FOTO: BERNAMA.

KEMENTERIAN Kesihatan mengumumkan undang-undang terhadap individu yang merokok di premis makanan akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan.

Jika gagal mematuhi larangan tersebut, perokok bakal berhadapan denda sehingga RM10,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pihaknya giat menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Perokok masih ingkar patuhi larangan merokok di kedai makan

"Sebanyak 146,607 premis makanan diperiksa dan 31,422 notis amaran dikeluarkan. Dari jumlah tersebut, sebanyak 27,759 buah premis telah diberikan amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok serta 3,889 notis dikeluarkan bagi orang yang didapati merokok di kawasan kedai makan.

“Sejumlah 23,805 aduan pula diterima semenjak Januari 2019 sehingga 3 November 2019,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) di waktu pertanyaan menteri di Parlimen pada Khamis.

Selain itu, mulai 1 Januari juga, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak 3 meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya sudah mengadakan sesi perbincangan bersama pihak Kementerian Pendidikan bagi membincangkan strategi dan langkah untuk memastikan masalah penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah dapat dibendung.

"Antara langkah yang dijalankan ialah aktiviti penguatkuasaan terhadap penjualan rokok elektronik mengandungi cecair nikotin dan penggunaan rokok elektronik kalangan mereka yang berumur 18 tahun dan ke bawah.

Di bawah peruntukan Akta Racun 1952, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia menjalankan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara pada 20 Ogos dan 31 Oktober 2019.

Penguatkuasaan ini menumpukan kedai-kedai penjualan rokok elektronik atau vape berhampiran sekolah serta yang menjadi akses kepada pelajar seperti di kedai-kedai runcit, kedai gajet dan kedai peralatan rokok elektronik.  - SINAR HARIAN.

Artikel Lain