suria

Tunku Azizah serah sumbangan peribadi pada mangsa Taufan Hagibis di Jepun

Tunku Azizah berkenan bertitah pada Majlis Perjumpaan bersama 'Friends of Asia Pacific World Association of Girl Guide and Girl Scouts of Japan' di Hotel Metropolitan Edmont Tokyo. Foto: Bernama

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyerahkan sumbangan peribadi kepada mangsa Taufan Hagibis yang melanda Jepun baru-baru ini.

Tunku Azizah menyampaikan sumbangan itu pada majlis minum petang dengan Ahli-ahli Pandu Puteri Asia Pasifik dan Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) dari Jepun, yang diadakan di sebuah hotel di Tokyo, pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Bahasa Inggeris tak betul tak jadi masalah buat Tunku Azizah - “Saya tidak malu kerana itu bukan bahasa ibunda saya” 

Tunku Azizah yang juga penaung WAGGGS turut berkenan beramah mesra dengan 66 anggota Persatuan Pandu Puteri Jepun dalam acara tersebut.

Tunku Azizah dan Yang Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berada Jepun sejak Isnin lalu atas jemputan kerajaan negara itu untuk menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja Ke-126 mereka, Maharaja Naruhito yang berlangsung di Istana Imperial pada Selasa.

Taufan Hagibis yang melanda negara itu pada 12 Oktober lalu dilaporkan telah mengorbankan lebih daripada 70 nyawa dan menyebabkan kerajaan Jepun menangguhkan perarakan pertabalan pada 10 November depan.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan sebagai Maharaja pada 1 Mei lepas selepas ayahanda baginda Maharaja Akihito, 85, melepaskan kedudukan tertinggi dalam hierarki pemerintahan negara matahari terbit itu atas faktor kesihatan. - BERNAMA

Tunku Azizah, Jepun, Taufan Hagibis

Artikel Lain