suria

Pemancing disyaki akibatkan pencemaran Sungai Selangor

Pemancing disyaki mengakibatkan insiden pencemaran Sungai Selangor.

TIGA individu yang memancing di Sungai Selangor berdekatan Rantau Panjang di sini, disyaki mengakibatkan insiden pencemaran sungai itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata ini kerana siasatan awal mendapati kawasan pencemaran yang merupakan lokasi Syarikat Two-B Machineries Sdn Bhd menjalankan aktiviti mengorek pasir bukan tempat larangan menyebabkannya sering menjadi tumpuan kaki pancing.

Beliau berkata berdasarkan laporan polis yang dibuat kira-kira pukul 10.30 malam tadi, pengadu daripada syarikat itu turut mengatakan wujud perbuatan khianat terhadap pontun yang menyimpan minyak milik syarikat berkenaan di sungai tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati klip kepada hos tong yang menyimpan minyak di lokasi berkenaan telah ditanggalkan menyebabkan kira-kira 100 liter minyak diesel tersebut mengalir masuk ke dalam sungai.

"Syarikat berkenaan sudah berhenti menjalankan aktiviti mengorek pasir sejak dua bulan lepas tetapi masih ada pekerja di situ untuk menjaga keselamatan aset. Tapi ia bukan tempat larangan.

"Dua ke tiga hari lepas, ada pekerja menegur tiga pemancing supaya tidak memancing disitu tetapi tidak diendahkan mereka. Berkemungkinan besar, mereka tidak berpuas hati dengan teguran itu dan melakukan perbuatan khianat," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata polis sedang mengesan kumpulan pemancing itu yang dikatakan datang ke lokasi tersebut menaiki motosikal jenis Honda EX5 tanpa nombor pendaftaran.

Bagaimanapun katanya, siasatan sedang dilakukan untuk memastikan sama ada ia juga mungkin berlaku akibat kecuaian pihak tertentu.

Noor Azam berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang boleh dikenakan hukuman sehingga 30 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada Ahad, Air Selangor memaklumkan bahawa pencemaran minyak diesel dikesan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang daripada sumber air mentah Sungai Selangor.

Susulan itu, LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada pukul 6 petang disusuli LRA SSP3 pada pukul 8 malam serta LRA SSP1 dan LRA SSP2 pada 8.15 malam semalam bagaimanapun, kesemua LRA terlibat beroperasi semula pada pukul 3.30 pagi tadi. -Bernama

Pemancing, Sungai Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain