suria

Agong bantu mangsa kemalangan

Sultan Abdullah berkesempatan turun dari kenderaan rasmi baginda untuk memberi bantuan kepada seorang mangsa kemalangan di kawasan Putrajaya.

PERILAKU Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah jelas menyerlahkan sifat cukup terpuji, apabila baginda yang sedang dalam perjalanan ke Putrajaya sempat turun dari kenderaannya semata-mata untuk membantu seorang mangsa kemalangan.

Gambar-gambar Seri Paduka memberi bantuan kepada mangsa kemalangan yang memandu kenderaan Perodua Alza merah itu tular di media sosial.

Menurut catatan hantaran Instagram Istana Negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkesempatan turun dari kenderaan rasmi baginda untuk memberi bantuan kepada seorang mangsa kemalangan di kawasan Putrajaya.

Sultan Abdullah meluangkan sedikit masa untuk menenangkan mangsa, yang tidak mengalami kecederaan serius, namun dilihat berada dalam keadaan trauma.

“Alhamdulillah pemandu kenderaan itu Puan Jasliza Jamil tidak mengalami kecederaan yang serius," menurut catatan hantaran itu.

Menurutnya Seri Paduka kemudiannya meneruskan perjalanan ke mesyuarat pra-Kabinet bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya.

Kebiasaannya sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet yang diadakan pada hari Rabu, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu yang berlaku di kawasan Susur Persiaran Barat Lebuh Sentosa di sini pagi Rabu.

Menurutnya kemalangan itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi dan kenderaan Alza yang dipandu Jasliza, 38, yang sedang dalam perjalanan dari Gombak ke pejabatnya di Presint 2, dikatakan terbabas sendiri semasa tiba di tempat kejadian.

"Ketika itu keadaan cuaca hujan renyai dan secara tiba-tiba kereta itu hilang kawalan, terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum menaiki pembahagi jalan sebelah kanan,” kata Rosly.

Menurut Rosly selepas kemalangan, konvoi Seri Paduka yang kebetulan melalui lokasi kemalangan, berhenti untuk melihat keadaan Jasliza.

“Yang di-Pertuan Agong amat prihatin dan turut membantu mangsa kemalangan. Seterusnya Yang di-Pertuan Agong meneruskan perjalanan ke Istana Melawati,” kata Rosly.- Bernama

Artikel Lain