suria

Sultan Ibrahim berkenan kurnia darjah, pingat sempena ulang tahun keputeraan baginda esok

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat sampai pada pukul 10 pagi Khamis di Istana Besar.

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan darjah dan pingat kepada 62 individu sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-60 baginda, esok (Khamis).

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abd Rahim Ramli berkata dua daripada individu itu bakal dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato' Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk manakala lima individu lagi dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjung Pangkat Kedua Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang turut membawa gelaran Datuk.

“Seramai 26 individu pula dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjung Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) manakala 29 lagi dikurniakan Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II),” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Abd Rahim berkata Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dijadual berangkat sampai pada 10 pagi Khamis di Istana Besar, di sini, bagi Istiadat Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda ke-60 itu.

Beliau berkata istiadat dimulakan dengan majlis Doa Kesyukuran di Dewan Cina, Istana Besar, oleh Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad diikuti Sultan Ibrahim memeriksa barisan kehormatan Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Menurut Abd Rahim, istiadat diteruskan dengan Majlis Teriman iaitu Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyembah ucap selamat dan memperbaharui ikrar taat setia bagi pihak kerabat diraja Johor dan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian menyembah ucap selamat bagi pihak kerajaan dan rakyat.

Sultan Ibrahim kemudian turut bertitah sebelum istiadat diteruskan dengan Majlis Mengadap Takzim dan diakhiri dengan Majlis Darjah dan Pingat, katanya.

“Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor adalah pada 23 Mac setiap tahun. Sambutan pada tahun ini telah ditangguhkan di atas sebab Pilihan Raya Umum (PRU) 14 dan kegeringan bonda tuanku, Almarhumah Yang Amat Mulia Enche'Besar Hajah Khalsom Abdullah.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Ibrahim) berkenan istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang ke-60 yang ditunda itu diadakan pada 22 Nov (esok). Sambutan ini diadakan secara sederhana iaitu dengan mengadakan Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Mengadap Takzim dan Majlis Darjah dan Pingat di Istana Besar,” katanya.

Abd Rahim berkata tiada sambutan di peringkat daerah dan Khamis juga tidak diisytiharkan sebagai hari cuti awam.

Beliau berkata Majlis Jamuan Teh bersama rakyat akan diadakan Sabtu ini (24 Nov) pada 3 petang di Stadium Hoki Bandar Penggaram, Batu Pahat dengan kira-kira 5,000 orang dijangka hadir.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim berkenan untuk melancarkan empat buku iaitu ‘Syair DYMM Sultan Ibrahim' karya Pensyarah Kanan Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim Dr Maskiah Masrom; ‘Sultan Ibrahim of Johor, Road to a Royal Coronation' oleh Robert Lim Fung Wang; ‘Almarhum Sultan Ismail Johor 1894-1981' karya Pegawai Penerbit Universiti Teknologi Malaysia Ahmad Fadhli Syed Hassan serta ‘JDT Johor Darul Ta'zim, An Abode of Dignity' karya Abdul Rahim sendiri.

Sultan Ibrahim

Artikel Lain