suria

Pembenihan Awan Di N.Sembilan Dalam Masa Terdekat - MB

Mohamad Hasan.

SEREMBAN: Negeri Sembilan bercadang melakukan pembenihan awan dalam masa terdekat bagi meningkatkan bekalan air di empangan dan sungai yang kini berada pada paras yang tidak memuaskan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata usaha itu perlu dilakukan kerana dengan awan jenis komulonimbus pada ketika ini, pembenihan awam sesuai dilaksanakan.

"Saya sudah gerakkan Jawatankuasa Bencana Alam untuk bincang perkara ini dan saya sudah putuskan untuk memohon kepada Jabatan Meteorologi untuk membuat pembenihan awan dan mereka telahpun bersetuju pembenihan awan dilakukan di Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin.

"Keadaan awan sekarang sesuai untuk kita buat pembenihan awan dan saya yakin ia akan dilakukan dalam masa terdekat. Selepas itu saya berharap hujan turun lebat khususnya di kawasan yang kita tumpukan ini kerana ia merupakan kawasan huluan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Deepavali Ketua Penerangan MIC Kebangsaan Datuk V.S. Mogan di sini Sabtu.

Sementara itu, Mohamad meminta semua surau dan masjid di negeri ini mengadakan solat hajat bagi memohon hujan.

"Sejak minggu lepas lagi saya sudah minta semua surau dan masjid adakan solat sunat hajat untuk berdoa agar hujan yang turun mencukupi kerana hujan hanya 50 peratus sahaja di negeri ini menyebabkan (paras) air di empangan dan sungai banyak yang turun.

"Alhamdulillah, dua tiga hari ini kita lihat sudah ada hujan turun tetapi taburan hujan masih kurang dan sekejap sahaja, saya harap supaya kita semua terus berdoa agar hujan turun," katanya.

Pada masa sama, Mohamad berkata Jawatankuasa Bencana Alam juga sedang meneliti cadangan melaksanakan catuan bekalan air sekiranya paras air tidak berubah atau terus menurun.

Katanya jika cadangan itu diteruskan ia mungkin dilaksanakan pada waktu malam atau dua kali seminggu.

"Namun sekiranya hujan turun pada kadar yang mencukupi dalam waktu terdekat ini, kita akan tangguhkan dahulu program catuan air ini," katanya. - BERNAMA


pembenihan awan, Negeri Sembilan

Artikel Lain