suria

Dua Dikhuatiri Lemas Selepas Bot Terbalik

GUA MUSANG: Dua dikhuatiri lemas selepas sebuah bot terbalik ketika menyeberangi Sungai Lebir, di Kampung Miak kira-kira 130 kilometer dari sini, malam Jumaat.

Mereka ialah pemandu bot itu, Mohd Nor Ab Rahman, 55, dan penoreh getah warga Thailand yang dikenali sebagai Manah@Husam, 27, yang dipercayai dibawa arus deras dan masih belum ditemui sehingga petang Sabtu.

Kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas mengangkut getah sekerap.

Mohd Nor bagaimanapun dikatakan sempat menyelamatkan isterinya Kamariah Mat Husin, 53, yang juga menaiki bot itu daripada lemas.

Beliau bagaimanapun hilang selepas cuba menyelamatkan warga Thailand berkenaan.

Kamariah berkata bot mereka dipercayai melanggar tunggul kayu yang terdapat di tengah sungai menyebabkan ia terbalik.

Katanya beliau yang hampir lemas sempat diselamatkan suaminya dengan mengheretnya ke tebing sebelum suaminya turun semula ke sungai untuk menyelamatkan pekerjanya warga Thai itu yang sedang berada di tengah sungai.

"Ketika suami saya mengheret saya ke tebing, dia sempat pesan kepada pekerjanya supaya memegang badan bot bagi mengelak dia dihanyut arus deras, tetapi pekerjanya itu akhirnya dihanyutkan arus.

"Suami saya yang cuba menyelamatkan pekerjanya itu turut sama dihanyutkan arus," kata Kamariah.

Ketua Operasi Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Rozani Mamat berkata usaha mencari kedua-duanya mangsa akan diteruskan pada Ahad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain