suria

Tren Tergelincir: Perkhidmatan Komuter Kembali Pulih

Beginilah keadaan tren komuter yang tergelincir di Rawang.
Beginilah keadaan tren komuter yang tergelincir di Rawang.
Beginilah keadaan tren komuter yang tergelincir di Rawang.

PETALING JAYA: Perkhidmatan tren Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kembali pulih selepas tren berkenaan tergelincir berhampiran Stesen Rawang pada Jumaat.

Jurucakap KTMB berkata satu daripada dua landasan terlibat telah pun diperbaiki bagi membolehkan tren lain menggunakan laluan berkenaan.

"Landasan pertama selesai dibaik pulih pada pukul 7.30 malam, dan kini landasan tersebut telah boleh digunakan," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata perkhidmatan keretapi akan kembali pulih seperti biasa menjelang tengah malam Jumaat.

Terdahulu, KTMB menyediakan 15 buah bus untuk mengangkut penumpang yang terkandas akibat tren Komuter tergelincir berhampiran stesen Rawang pagi Jumaat.

Jurucakap KTMB, berkata bas berkenaan adalah untuk mengangkut penumpang yang sedang dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Ipoh.

Wakil KTMB itu menjangkakan gerabak tren Komuter yang tergelincir dekat stesen Rawang pagi tadi dijangka dapat dialihkan sepenuhnya menjelang pukul 10 malam Jumaat.

"Insya-Allah, semuanya akan selesai menjelang pukul 10 malam. Hampir 70 peratus kerja-kerja pengalihan selesai," kata Pengurus Wilayah Tengah KTMB Md Rosli Md Nor kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kira-kira 60 kakitangan KTMB terlibat dengan kerja-kerja pengalihan gerabak yang tergelincir dari landasan sejak pukul 10 pagi.

Md Rusli bagaimanapun enggan mengulas punca yang menyebabkan tren Komuter itu tergelincir, sambil menambah perkara tersebut masih dalam siasatan.

Pada kira-kira pukul 10.15 pagi Jumaat, tren Komuter Electric Multiple Units (EMU) yang mempunyai tiga koc tergelincir daripada landasannya ketika dalam perjalanan ke stesen Serendah.

Insiden itu berlaku kurang daripada satu kilometer arah utara dari Stesen KTMB Rawang.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan semua 120 penumpang dalam tren berkenaan selamat.

Jurucakap KTMB itu berkata penumpang tren Komuter yang sedang dalam perjalanan ke arah utara melalui Tanjung Malim dipindahkan dengan menaiki bas di Rawang sebelum mereka di Stesen Serendah.

Sementara mereka yang dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur pula perlu menaiki bas di Serendah dan sebelum turun di Rawang.

Bagi penumpang ETS ke Ipoh pula mereka perlu menaiki bas di Rawang yang akan membawa mereka meneruskan perjalanan ke Tanjung Malim.

Sementara penumpang ETS ke Kuala Lumpur pula perlu melakukan perkara yang sama dengan menaiki bas dari Tanjung Malim ke Rawang.

"Kami memohon maaf atas insiden yang berlaku. Kita berharap penumpang dapat meneruskan perjalanan dengan perkhidmatan kami dan Selamat Menyambut Hari Deepavali serta selamat bercuti," kata jurucakap berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain