suria

Kastam Rampas 22 Kereta Mewah Tidak Lunas Duti RM17 Juta

PETALING JAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas 22 buah kereta mewah pelbagai jenama bernilai kira-kira RM8 juta kerana tidak membayar duti kastam, menjadikannya rampasan terbesar jabatan itu tahun ini.

Ketua Pengarah KDRM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata kereta mewah berkenaan ialah 15 buah Ferrari, Rolls Royce (1), Lamborghini (3), Bently (1), Porche (1) dan sebuah Nissan GTR 365 yang melibatkan jumlah cukai kira-kira RM17 juta.

Beliau berkata kesemua kereta itu dirampas di sekitar Lembah Klang dan Perak dalam tempoh empat hari sejak Rabu lepas di bawah kesalahan Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 memiliki barang-barang belum lulus kastam.

"Selain rampasan kereta mewah yang menggunakan nombor pendaftaran Labuan, Wilayah Persekutuan, Gagasan 1 Malaysia dan Langkawi, kita turut mengambil keterangan daripada pemilik kereta untuk siasatan lanjut sama ada mereka terlibat kerana memiliki kereta yang belum lulus kastam.

"Kita rampas kereta ini dalam empat serbuan iaitu di hotel, rumah, premis jualan dan satu kes di Perak di mana seorang pemandu lori treler warga tempatan berumur 50 tahun ditahan ketika membawa empat unit kenderaan mewah di Hentian Rehat dan Rawat Tapah," katanya pada sidang media di sini.

Khazali berkata ada antara pemilik kereta itu merupakan anak orang kenamaan.

Bagi kes di Perak, beliau berkata kastam mengesyaki empat kereta itu dalam perjalanan untuk dihantar balik ke Pulau Bebas Cukai, Langkawi kerana telah melebihi tempoh berada di Kawasan Utama Kastam (KUK).

Katanya semua kenderaan itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana melanggar kesalahan mengikut Butiran 21A, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 1988.

"Mengikut butiran ini, kenderaan yang dibeli di Pulau Bebas Cukai (PBC) Langkawi dan Labuan dibenarkan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tidak melebihi 30 hari bagi satu-satu permohonan dan tidak lebih 90 hari dalam setahun," katanya.

Khazali berkata siasatan awal mendapati pemilik kenderaan itu bukan penduduk tetap PBC Langkawi dan Labuan yang tidak layak untuk mendapat kemudahan pengecualian di bawah butiran tersebut.

"Kenderaan tersebut didapati telah digunakan di KUK melebihi tempoh enam bulan dan secara automatik telah melanggar syarat di bawah butiran 21A dan kenderaan itu menjadi barang belum lulus kastam," katanya.

Khazali berkata berdasarkan siasatan, modus operandi yang digunakan ialah wakil penjual kenderaan menjual kenderaan kepada pembeli di KUK tanpa memasukkan elemen duti/cukai.

Perbuatan itu dilakukan dengan menghantar kenderaan ke PBC dan mendaftar kenderaan itu di Jabatan Pengangkutan Jalan dengan menggunakan alamat palsu pembeli di PBC.

"Kenderaan kemudian dibawa masuk ke KUK dengan menggunakan kemudahan di bawah butiran 21A. Bagaimanapun, kenderaan itu tidak kembali ke PBC selepas tamat tempoh," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti 379 kenderaan melanggar syarat di bawah Butiran 21 A, dan ia akan bekerjasama dengan lain-lain agensi termasuk Polis Diraja Malaysia untuk menyenarai hitam kenderaan berkenaan.

"Pemilik kenderaan mewah pula perlu memastikan duti/cukai kenderaan itu telah dibayar sebenarnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain