suria

Najib Hargai Usaha Tabung Haji Kekalkan Kos Mengerjakan Haji

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghargai komitmen dan usaha Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengekalkan kos mengerjakan haji pada kadar RM9,980 berbanding kos sebenar sebanyak RM15,555 seorang.

Beliau berkata kerajaan sangat prihatin terhadap umat Islam di Malaysia dan telah memberi bantuan subsidi sebanyak RM5,575 kepada setiap bakal haji memandangkan sebahagian daripada mereka adalah daripada golongan miskin.

Selain itu, katanya, beliau menerima panggilan telefon daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz yang memuji sikap dan disiplin jemaah haji dari Malaysia ketika menunaikan ibadah itu di tanah suci Mekah.

Berucap di majlis meraikan para jemaah haji tajaan 1Malaysia Development Berhad (IMDB) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini malam ini, beliau berharap bakal jemaah haji akan meneruskan tingkahlaku yang baik ketika berada di tanah suci itu. Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam

Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha. Pada majlis itu Perdana Menteri telah menunaikan solat Maghrib, Solat Isyak solat Hajat, bacaan Yasin dan bacaan Doa Selamat bersama para jemaah haji yang akan berlepas ke tanah suci Mekah.

Seramai 800 orang terdiri daripada imam, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang telah menerima surat tawaran menunaikan fardu haji 1434H/2013 tajaan Yayasan 1MDB, diraikan di majlis itu.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan menghargai sumbangan yang diberikan oleh imam, ketua kampung dan pengerusi JKKK dan memutuskan untuk menaja mereka menunaikan ibadah haji menerusi 1MDB. "Peranan pemimpin masyarakat ini sangat penting dalam memastikan masyarakat setempat hidup dalam keadaan aman dan damai," katanya.

Para jemaah yang mendapat tajaan 1MDB itu sangat beruntung kerana dapat menunaikan haji pada satu tempoh yang cepat berbanding prosedur biasa yang mungkin akan memakan masa sehingga berpuluh-puluh tahun ekoran kuota kemasukan jemaah haji yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain