suria

Kerajaan Hargai Peranan NGO Dalam Membina Negara - Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sambut oleh wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) setibanya pada majis sambutan Hari Raya Aidil Fitri bersama NGO Melayu di Seri Perdana Putrajaya pada Jumaat -Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sambut oleh wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) setibanya pada majis sambutan Hari Raya Aidil Fitri bersama NGO Melayu di Seri Perdana Putrajaya pada Jumaat -Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sambut oleh wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) setibanya pada majis sambutan Hari Raya Aidil Fitri bersama NGO Melayu di Seri Perdana Putrajaya pada Jumaat -Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam usaha membina dan membangunkan negara.

Sebagai sebuah kerajaan bersikap terbuka dan rasional, katanya kerajaan sentiasa mendengar suara, pandangan dan idea yang membina daripada NGO di negara ini bagi kepentingan rakyat dan negara.

Beliau berkata dalam landskap politik terkini berikutan dengan proses globalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), peranan NGO kini lebih ketara berbanding masa dahulu.

"Justeru itu sebagai sebuah kerajaan, selain daripada kita mendapat sokongan daripada badan-badan politik dan institusi-institusi tertentu, kita tidak boleh mengenepikan peranan yang dimainkan oleh NGO-NGO yang ada dalam negara ini, "Mesej saya ialah pengiktirafan NGO-NGO dalam konteks pembinaan negara. Suara dan peranan NGO semakin hari semakin penting.

"Sebagai kerajaan, kita amat wajar memberi ruang dan kesempatan supaya peranan NGO ini dapat diambil kira oleh kerajaan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Bersama NGO Melayu di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, di sini Jumaat.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan pemimpin-pemimpin mewakili 45 NGO Melayu dari seluruh negara. Najib berkata, walaupun pendekatan parti Umno dan NGO Melayu berbeza, namun matlamat dan prinsip perjuangan tetap sama iaitu memperjuangkan kepentingan dan kejayaan orang Melayu di negara ini agar terus maju dan menjadi contoh kepada masyarakat Islam di seluruh dunia.

"Prinsip dan matlamat kita tidak lari daripada Islam, Melayu dan negara kita. Mungkin pendekatan kita berbeza tetapi perjuangannya tetap sama. "Saya berulang kali menyebut bahawa kerajaan kita hari ini tidak lari (daripada perjuangan sama), walau kita menentukan perjuangan kita berasaskan kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam syariah yakni agama, nyawa, akal, keturunan dan fakta," katanya.

Bagi memastikan kedudukan dan kepentingan orang Melayu terus terjamin, Perdana Menteri berkata satu perhimpunan besar-besaran bertemakan "Pemerkasaan Ekonomi Melayu" akan diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 14 Sept ini yang turut disertai NGO Melayu.

Menurutnya kedudukan dan penjanaan kekayaan orang Melayu juga tidak boleh dilihat dari sudut pemilikan saham bernilai korporat semata-mata, tetapi dalam konteks yang lebih besar dengan pemilikan harta, simpanan dan harta intelektual. "Kita (kerajaan) juga tidak boleh beri tumpuan pada indivudu tertentu sahaja, tetapi apa juga dasar untuk kita bangunkan ekonomi Melayu, ia mesti merupakan secara menyeluruh supaya (orang) Melayu akan merasakan bahawa di bawah kerajaan hari ini, setiap individu akan dapat peluang dan pembelaan yang sebaiknya," katanya.

Menyentuh kenaikan harga bahan api baru-baru ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan hanya mengurangkan subsidi terhadap bahan api tersebut selama ini dan bukan meningkatkan harganya.

Jelasnya pemberian subsidi yang besar dan berterusan hanya akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain