suria

Gerakan Koperasi Bantu Kerajaan Laksana Agenda Keharmonian Kaum - TPM

JITRA: Gerakan koperasi di negara ini berjaya membantu kerajaan melaksanakan agenda keharmonian kaum dan perpaduan kebangsaan selain menyatukan kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat di negara ini serta menjamin kesejahteraan rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata gerakan koperasi merupakan antara pelbagai usaha ke arah penyatuan nasional yang telah dilaksanakan oleh kerajaan, yang dilihat mampu membendung kegiatan ekstremisme oleh pihak-pihak tertentu yang mempermainkan isu perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini.

"Jika kita singkap sejarah kewujudan koperasi di dunia, kita akan dapati bahawa koperasi ditubuhkan untuk membela pekerja-pekerja yang tertindas dalam arus revolusi yang berlaku di Eropah pada kurun ke-19 yang hanya mementingkan kaum kapitalis.

"Melalui penubuhan koperasi, dana yang dikumpul daripada anggota-anggotanya dapat digunakan untuk membantu anggota-anggota yang memerlukan kemudahan kredit di samping menjana aktiviti ekonomi dan sosial demi manfaat dan kesejahteraan anggotanya tanpa mementingkan keuntungan semata-mata," katanya pada majlis perasmian Hari Koperasi Negara 2013 di Dataran Darul Aman, Bandar Darul Aman di sini Sabtu.

Muhyiddin berkata kerajaan berusaha untuk membela kesejahteraan rakyat melalui gerakan koperasi sehinggakan ia mampu bertahan selama hampir satu dekad sejak koperasi pertama ditubuhkan pada 1922.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Muhyiddin Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Menteri Besar Perlis Azlan Man, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek dan timbalannya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Hari Koperasi Negara (HKN) merupakan acara tahunan bagi gerakan koperasi sejak 2002 dan kebiasaannya diadakan pada bulan Julai. Tahun ini memandangkan bulan Julai merupakan bulan puasa, ia diadakan sejak semalam hingga esok yang bertemakan "Koperasi Pemangkin Kesejahteraan Masyarakat".

Tujuan HKN diadakan adalah sebagai medan untuk menghebahkan dan menunjukkan kepada masyarakat umum tentang peranan serta aktiviti yang diceburi oleh koperasi yang masih kurang disedari ramai. - BERNAMA

Artikel Lain