suria

Penganjur Himpunan Di Terengganu Diminta Tukar Tempat Dan Tarikh

KUALA TERENGGANU: Pihak polis meminta penganjur supaya menukar tarikh dan lokasi perhimpunan mereka yang dijadual berlangsung di Kuala Ibai di sini pada Khamis ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin berkata notis awal yang diberikan pihak penganjur kurang daripada 10 hari perhimpunan hendak diadakan seperti yang ditetapkan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata, lokasi yang dipilih juga tidak sesuai kerana berdekatan jalan utama, kawasan perumahan, kawasannya yang sempit selain mengambil kira faktor keselamatan orang ramai.

"Kita ada menerima surat pemberitahuan berhubung himpunan itu dari pihak penganjur semalam dan kita dapati ia jelas tidak menepati akta perhimpunan aman yang ditetapkan.

"Jadi kita minta mereka meminda tarikh dan mencari lokasi yang lebih sesuai," katanya pada sidang media di sini Isnin.

Zamri berkata, pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika pihak gagal mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain