suria

Keputusan Majoriti Undi PKR Merosot

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)menyaksikan majoriti undi Parti Keadilan Rakyat (PKR) merosot meskipun berjaya menambah empat lagi kerusi Parlimen menjadikan 30 kesemuanya berbanding 26 kerusi pada pilihan raya umum 2008.

Pertambahan empat kerusi itu diperoleh daripada Batu Pahat, Johor, Bukit Katil di Melaka, Penampang di Sabah serta Miri di Sarawak.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun dapat mengekalkan kubu kuatnya Permatang Pauh, tetapi pilihan raya umum kali ini menyaksikan sokongan terhadap beliau merosot apabila meraih majoriti 11,721 undi berbanding pilihan raya kecil 2008 dengan majoriti 15,671 undi.

Turut tidak terkecuali anak Anwar, Nurul Izzah dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang memperoleh undi yang merosot walaupun dapat mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai dan Gombak.

Nurul Izzah memperoleh majoriti tipis 1,847 undi mengalahkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berbanding PRU 2008 dengan majoriti 2,895 undi.

Mohamed Azmin pula memperoleh majoriti 4,734 undi daripada 6,867 undi yang diperolehnya pada PRU 2008.

Naib Presiden PKR Tian Chua dan Fuziah Salleh serta anggota Majlis Tertinggi PKR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berjaya menambah majoriti masing-masing di kerusi Parlimen Batu, Kuantan dan Bandar Tun Razak.

Muka baru yang ditonjolkan PKR iaitu Mohd Rafizi Ramli yang juga Pengarah Strategi parti itu berjaya menawan kerusi Parlimen Pandan dengan majoriti 26,729 undi mengalahkan Lim Chin Yee daripada Barisan Nasional (BN) dan calon bebas, Tan Yew Leng. Selain itu, tiga pemimpin utama PKR iaitu Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Chua Jui Meng dan Dr Abdul Aziz Bari tewas dalam percubaan mereka kali ini untuk merebut kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Segamat dan Sabak Bernam kepada calon BN.

Saifuddin yang merupakan Setiausaha Agung PKR sebelum ini adalah anggota Parlimen Machang dan Jui Meng pula adalah Naib Presiden dan juga Pengerusi PKR Johor, menyertai PKR pada 2009 manakala Abdul Aziz adalah bekas pensyarah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan calon baharu parti itu pada PRU-13.

Pada pilihan raya umum kali ini, PKR bertanding 99 kerusi Parlimen dan menang 30 kerusi berbanding PRU 2008, di mana parti itu bertanding 95 kerusi dan menang 31.

Bagaimanapun lima anggota Parlimen PKR bertindak keluar parti dan menjadi anggota parlimen Bebas sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang dimiliki PKR ialah 26 kerusi pada pilihan raya umum 2008.

PRU-13 juga menyaksikan pakatan rakyat membentuk kerajaan di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang.

Di Selangor, PKR memiliki 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sembilan kerusi Parlimen, Kelantan dengan satu kerusi DUN manakala Pulau Pinang dengan 10 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen. -BERNAMA

Artikel Lain