suria

Kemenangan Paling Manis Pertahan Kerusi Parlimen Segamat - Subra

SEGAMAT: Datuk Seri S.Subramaniam menganggap kemenangannya dalam mempertahankan kerusi Parlimen Segamat ke tanggan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Ke-13 (PRU-13) adalah paling berharga.

Beliau yang menyandang kerusi tersebut sejak 2004 berkata pertandingan kali ini berbeza kerana ia berhadapan dengan pembangkang yang berjuang berhabis-habisan.

"Kemenangan ini cukup manis dan istimewa buat saya kerana ia berbeza dengan pilihan raya lalu.

"Saya cukup puas dan lega bila kerusi yang digelar antara lapan kerusi panas dalam negara ini berjaya dipertahankan BN," katanya sejurus selepas pengumuman kemenangannya dibuat oleh Pengurus Pilihan Raya Bahagian Segamat, Ismail Abu di Pusat Penjumlahan Undi, di sini, malam Ahad.

Subra turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk di Segamat yang memberi kepercayaan sekali lagi kepadanya selama tiga penggal.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata misi utama dalam menyambung rancangan kemajuan kawasan itu adalah dari segi pembangunan ekonomi.

"Bagi tempoh lima tahun ini kita akan menumpukan kepada pembangunan ekonomi di daerah parlimen ini.

"Kita akan cuba menarik pelabur dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat di sini agar tidak perlu keluar berhijrah ke tempat lain," katanya.

Dalam pada itu, Subra turut menyatakan rasa kesal dan dukacita terhadap kekalahan beberapa pemimpin BN biarpun sudah melakukan banyak pengorbanan kepada rakyat.

"Senario politik kita tidak berapa baik kali ini, saya dapat tahu beberapa pemimpin kita tewas walaupun mereka dikenali sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat.

"Saya lihat situasi sekarang rakyat sudah tidak melihat jasa pemimpin dan parti yang banyak memberi kesenangan kepada mereka," ujarnya.

Subra memenangi kerusi Parlimen Segamat buat penggal ketiga dengan majoriti 1, 217 menewaskan calon PKR, Datuk Chua Jui Meng pada PRU-13.

Artikel Lain