suria

Bekas Penasihat Syarikat Didakwa Bersubahat Tipu Beri Pernyataan Palsu

KUALA LUMPUR: Bekas penasihat syarikat Axis Incorporation Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan bersubahat untuk menipu memberi pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Lee Koon Huat, 58, didakwa bersubahat dengan syarikat pembuat pakaian itu untuk menipu Bursa Malaysia Securities Berhad dengan memberi empat pernyataan palsu dalam penyata pendapatan bagi tahun 2006 dan 2007 syarikat itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan di sini antara Ogos 2006 hingga Mei 2007 mengikut Seksyen 122C (c) dan dibaca bersama Seksyen 122B (a)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti P. Krishantini menawarkan jaminan RM500,000 dengan dua orang penjamin terhadap tertuduh serta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah.

Peguam A. Krishnakumar yang mewakili Lee memohon jaminan dikurangkan kepada RM100,000 kerana tertuduh mempunyai anak perempuan yang menghidap kanser yang memerlukan rawatan di Singapura.

Hakim Norsharidah Awang membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan dua orang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan menetapkan 11 April ini untuk sebutan kes.

Mahkamah turut membenarkan kes tersebut dibicara bersama dengan kes tiga bekas pengarah syarikat itu yang sebelum ini didakwa terhadap lima pertuduhan mengemukakan dan memberi pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad. - BERNAMA

Artikel Lain