suria

Bekas Gabenor Bank Negara Dikebumi Di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara

KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Ali Abul Hassan Sulaiman, yang meninggal dunia pada Isnin akibat kanser prostat, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail di sini pada 3 petang Selasa.

Sebelum itu, jenazah dimandikan di kediamannya di Kemensah Heights dan disembahyangkan di masjid berdekatan rumahnya.

Isteri Allahyarham, Puan Sri Jameela Ali Abul Hassan yang ditemui Bernama berkata Allahyarham terlalu mengambil berat terhadap keluarganya, pemurah dan tidak mudah marah.

"Dia selalu cakap yang dia akan 'pergi' dahulu sebelum saya," katanya.

Allahyarham, 71, meninggalkan tiga anak, seorang lelaki dan dua perempuan serta 11 cucu.

Allahyarham adalah gabenor keenam Bank Negara dari 1998 hingga 2000.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu menyertai perkhidmatan awam pada 1965 di Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri serta pernah menjadi setiausaha Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa di Kementerian Kewangan pada 1985. BERNAMA

Artikel Lain