suria

Najib Umum Tujuh Projek Di Bawah ETP Bernilai RM5.607 Bilion

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan tujuh projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), dengan nilai pelaburan RM5.607 bilion.

Secara kolektifnya, ketujuh-tujuh pelaburan projek itu dijangka dapat melonjakkan Pendapatan Negara Kasar (GNI) negara sebanyak RM2.361 bilion dan mewujudkan 18,522 pekerjaan baharu.

Dalam taklimat mengemaskinikan kedua perkembangan untuk tahun ini, Najib berkata: "Dalam pencarian kita untuk mendapatkan pelaburan langsung asing, kita lebih bersikap memilih (selective) dengan penekanan diberikan kepada pelaburan positif GNI yang akan memudahkan peralihan kita kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

"Pelaburan-pelaburan ini (hari ini) menepati bidang-bidang fokus kita, yang termasuklah teknologi tinggi, teknologi hijau dan alternatif dan industri berintensifkan pengetahuan."

Perdana Menteri berkata kerajaan terus kekal fokus dalam mewujudkan situasi yang mesra pelabur bagi membolehkan perniagaan berkembang maju.

Pelaburan terbesar dalam pengemasan terkini hari ini ialah dalam sektor minyak dan gas Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Satu konsortium terdiri daripada Dialog Group, Kerajaan Negeri Johor dan Royal Vopak akan melabur RM4.08 bilion untuk memajukan Projek Terminal Gas Asli Cecair (LNG) Pengerang -- terminal penyimpanan, muat turun dan regasifikasi LNG untuk mengimport LNG bagi tujuan urus niaga dan penggunaan domestik.

Dalam penjagaan kesihatan NKEA, Ranbaxy Laboratories Limited, syarikat farmaseutikal terbesar India dengan usaha sama rakan-rakan tempatan, akan melabur RM125 juta untuk membina kilang pengeluaran kedua di Malaysia, yang akan menjadi salah sebuah daripada lapan hab pembuatan global Ranbaxy untuk eksport ubat-ubatan generik.

Dalam Perkhidmatan Perniagaan NKEA, konsortium 1Progres merancang melabur RM947.125 juta dalam penyelesaian alternatif pemulihan sisa, sementara di bawah minyak sawit dan getah NKEA, United Plantations Bhd dan Oleon Sdn Bhd akan melabur RM96.33 juta untuk membina kilang pengeluaran oleo-derivatif berkapasiti 25,000 tonne setahun di Hab Halal Selangor.

Malaysia akan turut melabur RM4.7 juta dalam tiga klinik percubaan yang mahu menghasilkan penemuan perubatan dengan menggunakan "tocotrienols" dalam minyak sawit.

Dalam pendidikan NKEA, Medical Devices Corporation Sdn Bhd akan melabur RM88.55 juta untuk mewujudkan hab pembuatan kontrak dan di bawah elektrik dan elektronik, National Instrument Malaysia akan melabur RM270 juta bagi membentuk dua Akademi Instrumen Negara dan Nukleus Inovasi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata pengemaskinian perkembangan selanjutnya ke atas ETP dijadual diadakan pada bulan November dan seterusnya, pada bulan Januari.

Setakat ini, sejumlah 28 projek telah diumumkan di bawah NKEA, kata beliau.

Secara kolektifnya, para pelabur telah komited untuk melabur RM26.07 bilion dan mewujudkan 51,130 pekerjaan menjelang 2020, kata beliau.

"Projek-projek ini akan mewujudkan RM6.96 bilion dalam GNI," tambah Idris yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain