suria

Rang Undang-Undang Rela, Rukun Tetangga Dibentang Bacaan Pertama Di Parlimen

KUALA LUMPUR: Dua rang undang-undang yang bertujuan mengadakan peruntukan berhubung tanggungjawab, tugas dan bidang kuasa Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (RT) dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop membentangkan Rang Undang-Undang Rela 2012, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membentangkan Rang Undang-Undang Rukun Tetangga 2012.

Rang Undang-Undang Rela 2012 yang bertujuan mengadakan peruntukan bagi penubuhan, tugas dan kuasa Pasukan Rela terbahagikepada enam bahagian dan 28 Fasal yang menyentuh peruntukan bagi penubuhan, tugas dan kuasa pasukan itu.

Antara peruntukan dalam rang undang-undang Rela, majikan diwajibkan memberi pelepasan kepada kakitangan yang menganggotai Rela untuk menjalani latihan, dan semasa latihan, majikan tidak boleh membuat potongan daripada gaji, mengenakan apa-apa penalti dan mengubah terma dan syarat pekerjaan semata-mata kerana ketidakhadiran kakitangannya bekerja.

Majikan yang disabit kesalahan, didapati melanggari peraturan itu boleh didenda sehingga RM6,000, dan rang undang-undang itu mencadangkan tempoh latihan bagi anggota Rela hendaklah tidak lebih sepuluh hari pada suatu-suatu masa. Selain itu, adalah menjadi kesalahan bagi seseorang yang bukan anggota Rela untuk memiliki suatu perakuan pelantikan, dan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Sementara itu, denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya kepada mana-mana individu yang menggalang, memujuk atau menghalang mana-mana orang daripada mendaftar diri dalam pasukan Rela daripada menjalankan tugas dan kuasanya selaku anggota Rela.

Penalti sama turut dicadangkan bagi mana-mana individu yang disabit kesalahan menyamar sebagai anggota Rela.

Rang undang-undang itu turut memperincikan mengenai tugas anggota Rela yang antara lain merangkumi membantu mana-mana pasukan atau pihak berkuasa keselamatan apabila diminta, memberi bantuan kepada pihak berkuasa berkaitan mengawal dan mengubah haluan kenderaan motor, mengambil bahagian dalam khidmat masyarakat, dan membantu melindungi bangunan atau harta lain apabila diminta.

Tiap-tiap anggota Rela hendaklah mempunyai kad perakuan pelantikan dalam bentuk kad keselamatan yang hendaklah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Rela.

Menurut rang undang-undang itu, Ketua Pengarah, Timbalan-timbalan Ketua Pengarah, pegawai dan tiap-tiap anggota Rela semasa menunaikan tugas hendaklah disifatkan sebagai penjawat awam dalam pengertian Kanun Keseksaan.

Rang undang-undang itu turut memberi kuasa kepada Menteri untuk menentukan elaun yang akan dibayar kepada anggota Rela.

Sementara itu, Rang Undang-undang Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 pula bertujuan untuk membuat peruntukan berhubung Kawasan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (RT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) selain mengandungi peruntukan berhubungfungsi dan tugas angota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela.

Rang Undang-undang itu turut menetapkan seseorang anggota jawatankuasa RT hanya memegang jawatan tidak lebih dua tahun, dan layak dilantik semula apabila habis tempoh jawatannya tidak lebih daripada tiga penggal berturut-turut, melainkan dengan kelulusan Ketua Pengarah RT.

Mereka yang belum mencapai umur 18 tahun atau telah diisytihar bankrap atau telah disabit atas suatu kesalahan dan dihukum penjara selama tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000, tidak layak dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga.

Fungsi dan tugas Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga merangkumi menjalankan aktiviti bagi meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, muhibbah, melindungi pemastautin di kawasannya terhadap apa-apa aktiviti jenayah dan bencana dan menyediakan pengantara dalam masyarakat bagi menyelesaikan sebarang pertikaian atau perselisihan di kalangan anggota masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga adalah dibenarkan untuk memohon kepada Ketua Pengarah untuk menjalankan Skim Rondaan Sukarela (SRS) sekiranya permohonan daripada sekumpulan tidak kurang daripada 20 orang pemastautin di sesuatu kawasan yang berumur tidak kurang 18 tahun.

Seseorang anggota SRS yang menjalankan tugas meronda hendaklah menjalankan tugasnya dalam kumpulan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua anggota dalam satu kumpulan, dan hendaklah menjalankan tugas tersebut tidak lebih dua kali dalam sebulan.

Rang undang-undang itu turut mencadangkan penalti sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika seseorang anggota SRS didapati melanggar tatakelakuan ketika menjalankan tugas rondaan dan mengawal.

Ini termasuk sengaja memberi maklumat palsu, melakukan apa-apa perbuatan atau menggunakan bahasalucah, buruk atau menghina, bertindak secara tidak bertanggungjawab seperti tidur, berjudi, berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, bertindak secara cuai dan melakukan apa-apa perbuatan yang memudaratkan kebajikan kawasan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain