suria

Operasi Penguatkuasaan 6P: 10,092 Pati, 292 Majikan Dikena Tindakan

KUALA LUMPUR: Seramai 10,092 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 292 majikan telah ditangkap dan dikenakan pelbagai tindakan berikutan lebih 3,000 operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen di seluruh negara sejak Oktober lepas hingga Isnin.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, seramai 50 majikan dan 1,364 Pati telah didakwa di mahkamah, sementara 102 majikan dan 621 Pati telah dikenakan kompaun dan 1,558 lagi Pati telah diusir keluar.

Manakala 30 majikan dan 3,058 Pati masih dalam siasatan jabatan itu, dan baki 110 majikan dan 3,337 Pati telah dibebaskan kerana tiada kes, katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut seramai 154 PATI dikesan terlibat sebagai mangsa antipemerdagangan orang (ATIP).

Mahmood berkata, dalam 3,331 operasi itu yang melibatkan 18,197 anggota Jabatan Imigresen sejumlah 70,259 PATI telah diperiksa.

Beliau berkata, selain itu, 493 warga Afrika turut ditahan di bawah penguatkuasaan Program 6P dengan warga Nigeria mencatat jumlah tertinggi seramai 462 orang, dan diikuti warga Uganda seramai 13, Sudan dan Zimbabwe masing-masing empat orang, Botswana (3), Zambia (2), dan masing-masing satu bagi D'lvory Coast, Eritheria, Cameroon, Guinea dan Algeria.

Sementara seramai 132,424 PATI telah diampunkan dan telah memilih untuk pulang ke negara masing-masing dengan Indonesia mencatat jumlah terbesar seramai 82,253 orang.

"India (10,091), Nepal (9,271), Myanmar (7,850), Kemboja (5,121), Bangladesh (4,816), Vietnam (3,242), Pakistan (2,707), Filipina (2,249), Sri Lanka (1,705), China (1,492) dan lain-lain negara (1,627).

"Daripada jumlah tersebut seramai 100,133 PATI memilih jalan udara, 31,685 memilih jalan laut dan 424 menggunakan jalan darat," katanya.

Mahmood berkata, operasi penguatkuasaan tertinggi iaitu sebanyak 1,118 dijalankan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain