suria

Mada Lewatkan Jadual Penanaman Padi Pada Musim Depan

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) akan melewatkan jadual penanaman padi pada musim depan bagi membolehkan air dalam petak-petak sawah dikeringkan untuk mengelak masalah tanah jerlus.

Pengurus Besarnya Datuk Abdul Rahim Saleh berkata pihaknya telah berbincang dengan petani yang terlibat dengan masalah tanah jerlus di beberapa kawasan dan mereka bersetuju untuk melewatkan penanaman padi.

"Mengikut jadual asal, penanaman musim depan akan bermula pada bulan Mac tetapi selepas kita berbincang dengan petani, mereka bersetuju untuk melewatkan tanaman kepada 15 April depan.

"Jadi kita mempunyai masa untuk membuat saliran bagi membolehkan air dalam petak sawah dikeluarkan dan kita mempunyai masa yang cukup untuk tanah itu kering," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Bernama pada 15 Feb lepas mengenai petani di Kampung Padang Garam, Kuala Kedah tidak dapat menuai padi yang berkeluasan 25 hektar kerana tanah jerlus dan lembut.

Abdul Rahim berkata keadaan tanah yang lembut dan jerlus adalah disebabkan taburan hujan yang tidak menentu bermula pada 13 Jan hingga 23 Jan lepas dan keadaan itu menyebabkan jentuai padi tidak dapat memasuki kawasan itu untuk proses penuaian.

"Jika tidak kerana hujan, kerja-kerja penuaian dapat dijalankan pada 17 Jan kerana kita telah menghentikan bekalan air ke kawasan sawah pada 4 Jan lagi," katanya.

Beliau berkata masalah tanah jerlus dan lembab bukan sahaja berlaku di Kampung Padang Garam, malah kampung-kampung lain yang berhampiran seperti sawah Kampung Sematang Bogak/Telaga Juan dan Kampung Teluk Talipon juga mengalami masalah yang sama.

"Selain daripada memberi masa tanah itu kering, kelewatan tanaman padi di kawasan itu juga dapat membantu kita dalam menyelesaikan masalah penyakit padi kerana makanan musuh padi (serangga) akan terputus," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain